Edar kanabis: Buruh dihukum gantung sampai mati
Seorang buruh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar dadah.
Khairol Anuar Zakaria, 38, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Mohamad Abazafree Mohd Abbas.
Dalam prosiding tersebut Mohamad Abazafree berkata, mahkamah telah menimbang setiap aspek sepanjang perbicaraan termasuk mengambil kira keterangan saksi-saksi serta eksibit.
"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
"Oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman mati. Tertuduh selepas ini akan ditahan sehingga masa yang ditetapkan dan selepas itu akan digantung di leher sampai mati," katanya.
Terdahulu Khairol Anuar didakwa mengedar kanabis seberat 1227.9 gram di sebuah rumah di Kampung Dangar, Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira jam 2.55 petang pada 17 April 2017.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Shaharaliza Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.
Dalam penghujahan terakhir Ahmad Nizam memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan sebagai peluang kedua memandangkan anak guamnya sudah insaf dan menyedari kesalahannya.
Shaharaliza bagaimanapun mengemukakan hujah balas dengan merujuk keputusan terdahulu dalam kes yang sama dan hukuman yang dikenakan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai