Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengalaman mendebarkan terkandas 7 jam dalam banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengalaman mendebarkan terkandas selama tujuh jam di dalam rumah yang dinaiki air setinggi paras bahu di Kampung Tanjung Kerayong di Mentakab, Temerloh, pada Selasa lepas, tidak akan dilupakan oleh Sri Hartati Mohd Rasul, lebih-lebih lagi ibu, adik perempuan dan seorang jiran dengan bayinya berusia lapan bulan, turut berdepan bahaya ketika itu.

Berkongsi detik cemas itu, Sri Hartati, 23, berkata ketika air mula memasuki rumah, mereka tiga beranak memutuskan untuk hanya berlindung di tingkat atas rumah dua tingkat itu kerana pada awalnya beranggapan banjir tidak serius dan akan surut segera.

Sekitar pukul empat pagi, dia mendengar suara orang di depan rumah dan bila dijenguk, jirannya yang dikenali sebagai Fitriyah, 44, datang sambil mendukung bayinya, Saffiyah, meminta tolong untuk sama-sama 'berlindung'.

"Semasa itu, air sudah di paras pinggang dan jiran saya beritahu dia takut kerana hanya tinggal berdua dengan bayinya di rumah, telefon bimbitnya pula rosak. Saya segera mengajaknya untuk ke tingkat atas dan sejak itu, kami bergilir-gilir memantau paras air.

"Air naik mendadak sekitar pukul lima pagi kerana semasa meninjau di tingkat bawah, air sudah mencecah paras bahu menyebabkan saya terus meminta tolong di Twitter, bimbang air akan terus meningkat," kata gadis itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sri Hartati juga bersyukur kerana jirannya itu sempat mengambil keperluan anaknya termasuk susu, selain keadaan bayi itu yang tidak banyak meragam sebelum mereka dapat diselamatkan pasukan bomba pada pukul 11 pagi Selasa.

Sejurus diselamatkan, Sri Hartati yang bekerja sebagai kerani terus memadam status di Twitter berkenaan kerana tidak mahu ada pihak bimbang keselamatan mereka yang sudah diselamatkan.

"Saya berterima kasih kepada anggota penyelamat dan masyarakat yang menghubungi saya bertanyakan tentang perkembangan kami. Ramai yang mengucapkan rasa syukur apabila dimaklumkan kami semua selamat," katanya yang pertama kali berhadapan dengan situasi banjir.

Menurutnya, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan walaupun bilangan mangsa semakin bertambah dari hari pertama di situ, mereka masih dapat makan dan tidur dengan baik.

"Malah pengurusan di PPS ini turut menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak jiran saya," katanya lagi.

-Bernama