Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar gesa tubuh suruhanjaya kaji pengurusan bencana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya bagi meneliti semula seluruh dasar dan peranan agensi berkaitan dalam menghadapi dan menguruskan bencana di negara ini.

Anwar berkata langkah itu bagi memastikan persediaan dapat dilaksanakan secara tersusun dan tindakan drastik untuk membantu rakyat yang terjejas disalurkan dengan efektif.

Menurutnya, dalam kejadian banjir melibatkan beberapa negeri dan Kuala Lumpur ketika ini, penyelarasan bantuan kepada mangsa dilihat perlahan sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.

"Kita boleh faham mengapa rakyat berasa begitu kecewa dengan kelemahan menangani masalah ini. Sebab itu saya katakan harus ada suruhanjaya teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan diambil supaya masalah sama tidak berulang," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pemantapan pilihan raya PKR Kedah di Sungai Petani hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak menuding jari ke arah agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa lewat bertindak.

Katanya agensi kerajaan berkenaan akan bertindak segera sekiranya arahan cepat dan jelas diberikan kepada mereka.

Selasa lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ismail Sabri juga berkata tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah memainkan peranan penting.

-Bernama