Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM gesa k'jaan pastikan majikan swasta beri kelonggaran pada mangsa banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan memastikan pekerja di sektor swasta yang terjejas akibat banjir baru-baru ini diberi kelonggaran sewajarnya oleh majikan.

Ahli jawatankuasa pusat PSM M Sivaranjani berkata mereka menerima aduan sejak beberapa hari lepas daripada pekerja yang terjejas banjir yang mengatakan majikan menekan mereka di tengah-tengah krisis ini.

"Majikan mereka menekan mereka dengan mengatakan mereka tidak boleh mengambil cuti kecemasan, gaji mereka akan dipotong jika mereka mengambil cuti, dan mereka akan dipecat jika mereka tidak menghubungi majikan mereka semasa kecemasan ini," katanya.

Banjir kilat besar melanda negara pada hujung minggu lalu, menyebabkan kerosakan besar dan menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Sehingga hari ini, usaha menyelamat dan bantuan masih diteruskan, selain kerja pembersihan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Sivaranjani berkata terdapat pekerja yang tidak dapat menghubungi majikan kerana telefon mereka habis bateri akibat bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Beliau berkata masih ramai lagi yang tidak boleh kembali bekerja kerana keadaan rumah mereka masih belum selesai.

“Tetapi majikan memberi tekanan tambahan kepada mereka dengan memaksa mereka hadir bekerja serta membuat pemotongan gaji dan ugutan diberhentikan kerja,” katanya.

PSM mengalu-alukan pengumuman kerajaan bahawa akan ada hari cuti kecemasan diberikan kepada penjawat awam berikutan banjir.

Bagaimanapun, Sivaranjani berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hanya menggalakkan pihak swasta memberikan cuti bergaji kepada pekerja mereka.

“Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia harus mengeluarkan pekeliling di seluruh negara untuk melindungi pekerja ini, yang menderita akibat banjir kilat, dengan membenarkan mereka diberi cuti kecemasan bergaji sekurang-kurangnya seminggu.

“Ini supaya mereka dapat menangani situasi di rumah dan kembali bekerja seperti biasa.

“Selain itu, majikan perlu diberi amaran atau hukuman berat atas tindakan tidak berperikemanusiaan mereka terhadap pekerja yang terjejas akibat banjir,” katanya.