Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib: Kaji semula projek tebatan banjir dibatal k'jaan Selangor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan Selangor supaya mengkaji semula pelaksanaan projek tebatan banjir yang dinamakan Canal City.

Katanya, projek tersebut dimulakan semasa pentadbiran BN di Selangor sebelum dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) atas alasan ianya tidak memberi manfaat besar bagi Selangor.

"Kerajaan BN Selangor sebelum tahun 2008 pernah memulakan projek tebatan banjir berskala amat besar yang dinamakan Canal City. Pada tahun 2007, projek itu sudah diberi peruntukan RM3 bilion.

"Projek telah mula dibina pada tahun 2007 sehingga tahun 2009 tetapi tergendala apabila kerajaan Pakatan ambil alih Selangor selepas PRU12.

"Jika terusan air ini dapat mengurangkan risiko banjir disamping dapat menambah rizab air mentah Selangor, namun saya rasa ada keperluan untuk mengkaji semula perlaksanaan projek ini," katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Untuk rekod, PR merupakan gabungan awal sebelum Pakatan Harapan melibatkan PKR, PAS dan DAP, sebelum PAS keluar pada 2015.

Dalam pada itu, Najib yang juga ahli parlimen Pekan mendakwa bahawa tanah yang dikhususkan untuk projek tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga murah RM1.3 bilion.

Pada 7 Feb 2011, kerajaan Selangor bawah pimpinan menteri besar Khalid Ibrahim telah membatalkan projek Canal City menghubungkan Sungai Klang hingga ke Sungai Langat.

Khalid juga membuat keputusan untuk mengambil semula tanah lebih 4,000 ekar yang telah diberikan oleh kerajaan terdahulu pimpinan BN kepada syarikat pemaju, Talam Corporation Berhad, termasuk hutang-hutang tertunggak.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Khalid untuk mendapatkan komen.

Menurut Najib, projek Canal City itu melibatkan ke selatan Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) iaitu sekitar Taman Seri Muda dan Kota Kemuning.

Ia melibatkan pembinaan terusan air utama sepanjang 18km merentasi daerah Klang hingga ke daerah Hulu Langat yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat dengan matlamat mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak.

"Beberapa terusan sekunder juga akan dibina," katanya.

"Selain itu juga akan membina beberapa takungan air yang amat besar (seperti hybrid off river augmentation system HORAS) untuk menyimpan air yang akan menjadi sumber air penduduk Selangor," katanya.