Skip to main
Logo Malaysiakini

MP soal PM, Nadma bercanggah: Bantuan tunai banjir dapat sekali atau lebih?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyoal dakwaan percanggahan antara kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan dasar Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai berapa kali bantuan tunai akan diberikan kepada mangsa banjir.

Ini selepas ciapan Ismail kepadanya, memaklumkan bantuan banjir akan diberikan setiap kali bencana berlaku.

"Kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana.

"Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya," katanya pada hantaran semalam.

Bagaimanapun, Yeoh hari ini menegaskan soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh Nadma mengenai bantuan tunai RM1,000 menyatakan bantuan hanya akan diberikan sekali dalam "musim bencana."

"Sekiranya bencana berlaku melebihi dari sekali dalam tempoh bencana maka tiada bantuan kedua, ketiga atau seterusnya yang akan diberikan," kata jawapan Soalan Lazim Nadma itu.

Soalan lazim itu telah disiarkan dua hari lalu.

Yeoh berkata maklumat yang bercanggah itu menunjukkan 'kerajaan kucar-kacir'.

“Jawapan bercanggah antara ciapan perdana menteri dan soalan lazim Nadma menyerlahkan kekurangan komunikasi dalam kabinet dan Pejabat Perdana Menteri sendiri.

"Perdana menteri perlu lebih profesional. Kami berada di lapangan. Kami tahu. Jangan bersikap defensif dan dapatkan menteri kabinetnya menyelesaikan (hal ini)," katanya kepada Malaysiakini.

Percanggahan itu timbul apabila Ismail menolak ciapan Yeoh di Twitter yang menyoal mengapa permohonan bantuan banjir dikatakan akan ditutup pada 12 tengah hari ini (24 Dis).

Perdana menteri menafikan permohonan bantuan banjir akan ditutup dan memberitahu ahli parlimen Segambut itu untuk menyemak faktanya dan tidak hanya mempercayai mesej WhatsApp.

Mengulas dakwaannya sebelum ini bahawa permohonan bantuan banjir akan ditutup, Yeoh berkongsi dengan Malaysiakini mesej yang dilaporkan diterima oleh penduduk Segambut semalam daripada pengerusi subzon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPWWP).

Dalam mesej itu, pengerusi MPWWP berkata satu pasukan akan mengedarkan borang permohonan bantuan banjir dari rumah ke rumah dan penyerahan perlu diserahkan lusa (Jumaat, 24 Dis) selewat-lewatnya jam 12 tengah hari.

Tak berapa jelas cara mohon bantuan

Pengerusi itu juga memohon maaf atas notis singkat itu.

Terdapat kekurangan kejelasan tentang cara mangsa banjir boleh memohon bantuan tunai banjir, sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan publisiti dan kemudahan akses kepada maklumat.

Menurut soalan Lazim Nadma - yang nampaknya hanya disiarkan di halaman media sosialnya - permohonan bantuan oleh mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kendalian kerajaan akan diproses di sana.

Bagaimanapun, mangsa banjir yang tidak berpindah perlu membuat permohonan dengan ketua masyarakat setempat atau pegawai daerah.

Bantuan datang dalam bentuk wang tunai RM1,000 untuk setiap keluarga yang terjejas akibat banjir, manakala waris mereka yang terkorban akibat banjir akan menerima pampasan RM5,000.

[Baca laporan asal]