Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pegawai FLOM nafi Rosmah suka mengongkong

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang bekas kakitangan kerajaan yang sebelum ini ditugaskan menjadi penyelaras hal ehwal Rosmah Mansor hari ini menafikan isteri Najib Razak itu memang suka mengongkong.

Saksi kedua pembelaan, Siti Azizah Sheikh Abod, memberitahu mahkamah demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas penyelaras Bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu menjawab soalan pihak pendakwaan yang mencadangkan bahawa Rosmah bersifat mengongkong.

Menurut pendkawaan, sifat mengongkong itu membolehkan tertuduh menggunakan pengaruhnya yang besar dalam sektor awam di sebalik kedudukannya tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa itu membolehkan Rosmah didakwa meminta dan menerima rasuah yang dikaitkan dengan projek untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Dalam sesi pemeriksaan utama oleh peguam bela, Azrul Stork, saksi terbabit menolak dakwaan yang kakitangan kerajaan takut kepada Rosmah.

"Pada pengetahuan saya, pandangan sebegitu tidak berasas sama sekali. Hal itu kerana saya berasa selesa apabila bekerja dengan Rosmah Mansor," kata Siti Azizah.

Katanya, Rosmah - yang dikenalinya sejak menuntut di Universiti Malaya pada 1971 - merupakan seorang yang berkebolehan, pintar dan sentiasa bersedia.

Penjenamaan semula bahagian PMO

Menurut saksi itu lagi, Rosmah seorang wanita yang mahukan kesempurnaan dan mengharapkan yang terbaik daripada apa saja tugasan yang diberi mungkin berdasarkan kelayakan akademiknya yang memiliki ijazah sarjana muda, selain pernah memegang jawatan tinggi dalam dunia korporat.

Siti Azizah memberitahu penjawat awam di bawah Rosmah dapat menjalankan tugas harian mereka dengan baik kerana tertuduh jelas mengenai objektif dan hasil apa-apa tugas yang diberikan.

Malah, katanya, Rosmah tidak pernah campur tangan dalam proses mereka menjalankan tugas sebagai pegawai bahagian FLOM.

"Kami bebas membuat tafsiran (kepada tugasan yang diberikan) untuk pelaksanaan," katanya.

Selain itu dakwa Siti Azizah, tertuduh tidak mempunyai kapasiti untuk campur tangan dalam pelaksanaan tugas kakitangan awam kerana mereka berkhidmat di bawah bahagian FLOM di PMO.

Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan Malaysia.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, Rosmah didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Siti Azizah - yang pernah menjadi satu-satunya pegawai khas Najib bagi menyelaras urusan Rosmah - berkata FLOM bukanlah bahagian yang baru diwujudkan apabila Najib menjadi perdana menteri pada 2009.

Dakwanya, FLOM adalah penjenamaan semula satu bahagian yang sudah sedia ada di PMO dan memang bertugas untuk menyelaras hal ehwal isteri perdana menteri sebelum itu seperti Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.

Siti Azizah berhujah penjenamaan semula bahagian itu membawa dia ditempatkan di bahagian tersebut sebagai pengarahnya untuk menyelaraskan hal ehwal Rosmah.

Sesuai dengan penjenamaan semula bahagian itu, kata Siti Azizah, dia mendakwa mencadangkan agar bahagian tersebut dikenali sebagai Wanita Pertama Malaysia.

“Bagaimanapun, fungsi, peranan dan tanggungjawab bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Setahu saya, tiada penubuhan bahagian baru di bawah PMO kerana bahagian FLOM adalah kesinambungan daripada bahagian sedia ada,” katanya.

Prosiding itu akan disambung semula pada 10 Jan tahun depan dengan Najib dijangka mengambil giliran sebagai saksi pembelaan.