Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: Penduduk Orang Asli tinggal di khemah lepas rumah musnah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berikutan usaha misi bantuan yang perlahan selepas banjir minggu lalu, sekumpulan penduduk kampung Orang Asli di Karak, Pahang masih lagi tinggal di dalam khemah di ladang kelapa sawit walaupun air telah surut lima hari lebih awal.

Lebih memburukkan keadaan, kira-kira 10 mangsa banjir yang masih lagi terperangkap itu adalah dua warga emas dan dua kanak-kanak.

Tidak mustahil mereka akan terus terperangkap di sana sekiranya kawasan terbabit sekali lagi dilanda banjir.

Perkampungan orang Temuan, yang terletak bersebelahan dengan dusun durian di Batu 19, Karak, musnah dalam banjir baru-baru ini.

Ketika Malaysiakini melakukan tinjauan ke kawasan terbabit semalam, kesemua lapan rumah di kampung itu didapati rosak dan tidak lagi sesuai untuk diduduki.

Malah, ada beberapa buah rumah yang hanya tinggal tiang akibat banjir yang melanda.

Kebun-kebun yang terletak di persisir Sungai Krau dan Sungai Telemung itu juga mengalami kerosakan teruk.

Tebing sungai turut dipenuhi kayu balak.

Menurut Alam Awai, 56, yang bekerja di kebun yang terkesan banjir, lebih 50 penduduk kampung berpindah ke kawasan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri, pada malam Sabtu.

“Dalam lebih 50 tahun, ini adalah banjir paling teruk pernah saya lihat. Air mengalir seperti air pasang; rumah kami di tebing sungai dipenuhi air banjir.

“Saya pada mulanya mahu berjalan ke hulu sungai untuk berlindung di rumah kakak. Tetapi paras air naik ke rumah dalam masa lima minit, jadi kami hanya boleh terus berlari dan mencari perlindungan di ladang kelapa sawit,” katanya.

Dia menyifatkan banjir kali ini ibarat tsunami - walaupun dasar sungai itu dalam dan sejauh 100m dari sungai namun ia tetap ditenggelami air.

“Saya rasa paras air sekurang-kurangnya 70 kaki (21 meter). Saya memelihara 100 ekor ayam dan air menghanyutkannya tanpa meninggalkan sehelai bulu pun... Ia adalah pemandangan yang mengerikan,” keluhnya.

Jelas Alam, sebaik saja tiba di kawasan yang lebih tinggi, dia dapat mendengar tangisan penduduk kampung yang meminta bantuan, namun tidak berdaya untuk berbuat apa-apa.

Setelah banjir surut, majikannya pergi ke kebun durian mencarinya dan menjerit nama samarannya “Aki”.

“Tauke saya berkata dia terus mencari saya dan bimbang air telah menghanyutkan saya. Jadi, dia lega melihat saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan majikannya walaupun sedia maklum dirinya juga turut mengalami kerugian besar.

Bagaimanapun, dia kesal masih ada dua warga emas yang tiada tempat untuk dituju dan kini berteduh sementara di khemah lusuh.

“Mereka langsung tidak dapat melarikan diri apabila banjir datang, tetapi bernasib baik ada penduduk kampung yang masih muda berjaya membawa mereka ke tempat yang selamat,” katanya.

Malaysiakini turut berpeluang meninjau kawasan ladang kelapa sawit yang dikatakan Alam dan mendapati sepasang warga emas masih berada di dalam khemah lusuh.

Memandangkan mereka sukar bergerak, keadaan kebersihan di dalam khemah juga amat teruk.

Di salah satu khemah dihuni Jelina, 19, dan dua anak kecilnya berusia satu dan dua tahun. Dia tersenyum apabila didekati dan berkata bahawa mereka mempunyai makanan dan air.

Sementara itu, Asman Ula, 54, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi selepas banjir kerana rumah mereka musnah.

Ketika tinjauan Malaysiakini, terdapat sekurang-kurangnya dua kumpulan sukarelawan yang membantu menghantar makanan, air minuman dan peralatan mandian kepada masyarakat orang Asli disana.

Penduduk yang tinggal di kawasan sekitar turut datang mengambil beberapa barangan dan bekalan daripada sukarelawan.

Menurut Alam, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) datang beberapa hari lebih awal selepas banjir surut untuk meninjau kawasan itu dan menyediakan beberapa keperluan asas, namun tidak lebih daripada itu.

Dia turut melahirkan kebimbangan bahawa penduduk kampung terlalu berisiko jika terpaksa tinggal lebih lama di ladang kelapa sawit itu .

“Mereka tidak boleh tinggal di sana dalam jangka masa panjang. Saya takut mereka ini akan membuatkan (pemilik ladang) tidak berpuas hati. Biasanya, kami tidak boleh datang ke sini untuk mengambil air.

"Penduduk kampung menumpang tempatnya buat sementara waktu, tetapi kami berharap untuk pergi sebelum kami mengganggunya," katanya.

Pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi ketika diberitahu mengenai nasib penduduk kampung itu berkata, dia sudah memaklumkankepada pihak atasan mengenai situasi mereka dan berjanji akan membantu semampu mungkin.

“Untuk makluman perkara ini telah saya bawa ke pengetahuan pihak atasan bagi tindakan seterusnya. Pihak Jakoa Pahang akan cuba bantu mereka mengikut prosedur dan juga akan berusaha mencari bantuan alternatif supaya keadaan mereka kembali pulih.

“Saya juga dah minta NGO bawa sebanyak boleh kanvas untuk tambah tempat mereka berlindung,” katanya.

Bagaimanapun, Johari berkata sukar untuknya membantu mereka yang terjejas sekiranya penduduk yang terlibat enggan berpindah.

"Sukar bagi pihak saya kalau mereka enggan berpindah,” kesalnya.

Namun katanya pihak berkuasa akan terus memujuk penduduk kampung untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

“Sekarang ini pegawai Jakoa Bentong hampir setiap hari masuk ke sana pantau keadaan,” katanya kepada Malaysiakini.