Skip to main
Logo Malaysiakini

Twitter: Dasar kami untuk sentiasa berpihak pada kebebasan bersuara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Twitter mengamalkan dasar “sentiasa berpihak kepada kebebasan bersuara” apabila mengendalikan aduan terhadap akaun penggunanya, menurut jurucakap laman sosial itu.

Dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini, jurucakap itu berkata Twitter mempunyai pasukan yang dilatih untuk menilai setiap laporan melibatkan terma dan syarat perkhidmatannya dan menentukan sama ada akaun yang dilaporkan mana-mana pihak mencabulinya atau tidak.

“Dasar kami adalah untuk sentiasa berpihak kepada kebebasan bersuara yang wajar dan dalam ruang lingkup undang-undang.

“Sebagai syarikat global, Twitter mengamalkan penilaian wajar (due diligence) untuk menghormati undang-undang negara di seluruh dunia dan menilai sewajarnya semua proses undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Malaysiakini sebelum ini meminta respons Twitter berhubung pendedahan seorang pemilik akaun yang kerajaan cuba membuang ciapan yang mengkritik cara kerajaan menangani banjir yang melanda.

Usaha itu gagal selepas Twitter menolak permintaan yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Twitter, permintaan seumpama itu yang dibuat kerajaan atau badan berautoriti bukan berlaku di Malaysia saja.

“Apabila kami menerima permintaan perundangan yang sah, kita akan menilainya berdasarkan peraturan Twitter dan undang-undang tempatan. Kami memaklumkan kepada pemegang akaun secara terus melalui emel, agar mereka sedar akan permintaan itu. Jika kandungan melanggar peraturan Twitter, kami mungkin akan memadamkannya.

“Twitter mempunyai saluran perhubungan yang khusus untuk penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia dan kami memberi maklum balas terhadap proses perundangan berdasarkan undang-undang yang terpakai,” katanya lagi.

Dua hari lalu, seorang pengguna Twitter memaklumkan dia menerima emel daripada Twitter yang memaklumkan permintaan SKMM agar ciapannya dipadam.

Berdasarkan emel yang dikongsinya, ciapan yang dimaksudkan termasuk berkenaan warganet mengkritik acara meraih dana untuk mangsa banjir anjuran Menteri Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Satu lagi ciapan mengkritik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar berhubung kenyataannya mengenai kelayakan mangsa banjir untuk menuntut bantuan kerajaan, turut dinyahkan.