Skip to main
Logo Malaysiakini

Agong titah siasat segera tanah runtuh Kg Sungai Penchala

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur dapat dilakukan secepat mungkin.

Seri Paduka bertitah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan penjelasan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terjejas ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin di Kuala Lumpur.

“Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa-mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah Al-Sultan Abdullah selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat permindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara di Kuala Lumpur, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar pukul 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ahad lepas, seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 rumah telah musnah sepenuhnya.

Sementara itu, Seri Paduka menitahkan agar semua pihak termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lepas.

“Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. 

"Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti,” titahnya.

Seri Paduka meluangkan kira-kira sejam, mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan.

- Bernama