Skip to main
Logo Malaysiakini

25 lagi korban Covid-19, jumlah kes kematian 31,290

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 25 kematian baru Covid-19 semalam (24 Dis), menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 31,290.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, lima meninggal dunia sebelum mereka dapat menerima rawatan di hospital.

Johor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu enam, membentuk 24 peratus daripada kematian terkini.

Kes kematian selebihnya dilapor di Terengganu (5), Perak (4), Selangor (3), Kedah (2), Kelantan (2), Pahang (1), Sabah (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 22 daripada 25 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 38 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 35, menunjukkan aliran menurun.

Sehingga kini, 977 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 1,612 kematian Covid-19 dilaporkan pada November, 2,704 pada Oktober, 9,678 pada September dan 7,641 pada Ogos.

Setakat semalam, terdapat 46,877 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 15.5 peratus daripada 55,476 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 32.3 peratus daripada 69,262.

Kementerian Kesihatan memuat naik butiran terkini wabak Covid-19 selepas tengah malam di Github sebagai sebahagian daripada inisiatif data terbukanya.