Skip to main
Logo Malaysiakini

Nadma: FAQ bantuan banjir dirujuk Hannah Yeoh garis panduan lama

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendakwa soalan lazim (FAQ) mengenai bantuan banjir adalah garis panduan lama.

Perkembangan itu hadir hanya dua hari selepas FAQ itu disiarkan di Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai FAQ itu, khususnya perkara 13 yang mengatakan mangsa banjir hanya boleh menuntut bantuan sekali sahaja setiap musim bencana dan tiada bantuan tambahan akan diberikan.

Menurut Bernama, Nadma "menafikan sekeras-kerasnya" dakwaan Yeoh berkaitan tarikh tutup bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir.

Nadma berkata FAQ yang dirujuk Yeoh adalah garis panduan lama dan tidak lagi terpakai berikutan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Arahan ini turut dilanjutkan kepada semua kerajaan negeri.

"Dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal," kata Nadma dalam satu kenyataan.

Pada 21 Dis lepas, Ismail Sabri berkata ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan tunai setiap kali mereka ditimpa musibah.

Bagaimanapun, sehari kemudian pada 22 Dis, Nadma menyiarkan FAQ di Facebook yang menyatakan bahawa bantuan tunai hanya akan diberikan sekali setiap musim bencana.

Menurut Nadma, sebanyak RM26.9 juta bantuan tunai telah disalurkan ke 11 negeri di bawah fasa pertama setakat semalam.