Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Kes Omicron warga Indonesia ditahan di depoh Imigresen Semenyih

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

COVID-19 | Pengembara warga Indonesia yang didapati positif Covid-19 varian Omicron selepas pulang dari Malaysia adalah tahanan di depoh tahanan Jabatan Imigresen Semenyih, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan itu memberitahu sidang media pagi ini bahawa kes itu ialah seorang lelaki berusia 20 tahun yang ditahan pihak berkuasa pada 22 Sept bersama tiga rakannya, dan kesemua mereka telah disahkan negatif Covid-19 sebelum ditempatkan di depoh pada 23 Sept.

Khairy berkata mereka mengesyaki lelaki itu telah dijangkiti virus itu ketika berada antara penahanan dan penghantaran pulang pada 10 Dis, dan pihak berkuasa kesihatan sedang menyiasat punca jangkitan.

"Kita sedang meneliti di depoh sekarang. KKM bekerjasama dengan Jabatan Imigresen. 

"Kami sedang bekerjasama dengan imigresen dan untuk mengambil sebarang kes positif dan melakukan ujian genotaip.

"Kami akan mengambil (sampel daripada) semua kes Covid-19 yang positif di kemudahan untuk ujian genotaip untuk melihat sama ada terdapat sebarang kes Omicron yang disyaki di sana," katanya, merujuk kepada sejenis ujian makmal yang digunakan untuk mengesan kemungkinan kes Omicron.

Menurut Khairy, kes itu dihantar pulang ke Indonesia bersama salah seorang rakannya yang ditahan. Rakannya itu telah diuji buat kali kedua di Indonesia dan didapati negatif Covid-19. Dua lagi telah dibebaskan oleh imigresen pada 24 Sept kerana mereka memiliki dokumen yang sah.

Menteri itu berkata Jabatan Imigresen sudah mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk mencegah penularan Covid-19 di depoh tahanannya, di mana semua tahanan mesti diuji terlebih dahulu sebelum mereka ditempatkan di sana, dan sekali lagi sebelum mereka meninggalkan depoh.

Semasa sidang akhbar itu, Khairy menyatakan kebimbangan KKM terhadap orang yang pulang dari luar negara mengabaikan SOP semasa kuarantin di rumah mereka, di mana ramai yang tidak mengasingkan diri sepenuhnya daripada ahli keluarga lain.

Ini termasuk ramai jemaah yang baru pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi.

Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka tidak tinggal di bilik sepanjang tempoh kuarantin yang diperlukan sebaliknya berpindah ke rumah dan berjumpa dengan ahli keluarga lain.

Malah ada yang menerima pengunjung termasuk rakan dan jiran.

Khairy memberi amaran bahawa tindakan sedemikian adalah sangat berisiko, memandangkan ramai yang diuji positif dalam ujian Covid-19 yang diambil sebaik tiba di Malaysia, walaupun telah diuji negatif sebelum berlepas.

“Daripada kes Omicron yang dilaporkan antara 23 Dis hingga 24 Dis, KKM mengesan sebanyak 49 kes. Dan 30 daripadanya datang dari Saudi, dalam kalangan jemaah yang baru pulang daripada mengerjakan umrah.

“Kami mendapati kebanyakan mereka tidak mengikut SOP untuk mengasingkan diri daripada ahli keluarga. Mereka akan pulang dan berjumpa dengan keluarga dan saudara mara, malah menerima kunjungan jiran dan rakan.

"Mungkin mereka ini mahu berjabat tangan untuk mendapat keberkatan (daripada jemaah haji), tetapi sebaliknya mereka mendapat Omicron," kata Khairy.

Selain daripada 30 kes dari Arab Saudi, selebihnya dikesan dalam kalangan orang yang pulang dari UK (5 kes), Qatar (4 kes), Amerika Syarikat (3 kes), Nigeria (2 kes), dan masing-masing satu dari Turki, Itali, UAE dan Ghana.

Khairy berkata KKM akan memasukkan Arab Saudi dalam senarai negara berisiko tinggi Omicron, bersama UK, AS, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Pelancong yang tiba di Malaysia dari negara yang berada dalam senarai berisiko tinggi Omicron akan dikehendaki menjalani kuarantin mandatori tujuh hari dan perlu memakai peranti pengesan digital untuk memastikan pematuhan mereka.