PH gesa tukar kepimpinan SKMM kerana cuba tutup mulut pengkritik isu banjir
Pakatan Harapan (PH) menggesa pertukaran kepimpinan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana didakwa cuba menutup mulut pihak yang mengkritik pengendalian kerajaan terhadap banjir baru-baru ini.
Ini selepas SKMM gagal meminta Twitter untuk menghapuskan komen yang mengkritik tindakan kecemasan kerajaan terhadap banjir.
"Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir.
"Kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan, sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Putrajaya.
"Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera," kata majlis presiden gabungan itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.
Pengerusi SKMM ialah Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (atas).
Pada hari Rabu, seorang pengguna Twitter berkata dia telah menerima e-mel daripada Twitter yang memaklumkan kepadanya tentang permintaan yang dibuat oleh SKMM kepada laman blog mikro itu untuk mengalih keluar catatan Twitternya.
"Demi kepentingan ketelusan, kami menulis untuk memaklumkan anda bahawa Twitter telah menerima permintaan daripada SKMM mengenai akaun Twitter anda yang mendakwa kandungan berikut melanggar undang-undang Malaysia.
"Kami tidak mengambil sebarang tindakan ke atas kandungan yang dilaporkan pada masa ini akibat permintaan ini," kata e-mel dari Twitter itu.
Berdasarkan e-mel itu, kandungan yang ingin dibuang oleh SKMM termasuk ciapan netizen mengkritik acara kutipan derma banjir yang melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.
Kandungan lain yang menjadi pertikaian SKMM ialah ciapan yang mengkritik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar berhubung kenyataannya berhubung kelayakan mangsa banjir untuk menuntut bantuan kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai