Kehadiran Agong ubati kesedihan mangsa banjir sambut Krismas
"Kami sangat teruja dengan kedatangan Agong dan memberi keceriaan kepada kami di pusat ini," kata seorang mangsa banjir M Thilagavathy, 28, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 hari ini.
Wanita itu menzahirkan rasa teruja kerana tidak menyangka dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa sedih apabila tidak dapat menyambut Krismas seperti sebelum ini.
“Persiapan untuk Krismas pun kami sudah sediakan namun semua sudah hancur kerana banjir.
"Tapi kita pun tidak sangka juga walaupun tidak dapat sambut (Krismas), Agong pula datang ke sini ucap 'Merry Christmas' pada kami.
"Agong pesan ‘Jangan risau semua akan jadi baik lepas ini. Kalau hendak apa-apa bagitahu dekat orang di sini (pengurusan PPS)'," kata Thilagavathy kepada pemberita di PPS tersebut hari ini.
Seman Idon, 41, berkata sudah semestinya dia berasa sedih tidak dapat menyambut Krismas seperti biasa dan berkumpul bersama sanak saudara.
Tambah pilu, Seman yang berasal dari Betong, Sarawak itu berkata rancangan asalnya untuk menyambut Krismas bersama keluarga di Sarawak terpaksa ditangguhkan susulan banjir teruk di kawasan Taman Sri Muda.
"Tiket saya sudah beli untuk kami sekeluarga. Tunggu masa sahaja untuk pulang, sekali jadi banjir ini. Memang sedih sangat. Barang-barang persediaan semua sudah habis rosak.
"Bila Agong datang sini jumpa sendiri depan mata, rasa seperti ada sambutan di sini dan Baginda juga ada bagi sumbangan dan wang pada anak-anak. Anak-anak suka," katanya.
Terdahulu, Seri Paduka berkenan berangkat dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS sekitar 9.50 pagi yang disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Seri Paduka berkenan meluangkan masa kira-kira 40 minit menyantuni mangsa terjejas dengan banjir di Taman Sri Muda dan turut mengucapkan “Merry Christmas" (Selamat Hari Krismas) kepada mangsa yang menyambut perayaan itu sebelum berangkat ke lokasi seterusnya di Masjid Taman Sri Muda, di Shah Alam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai