Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sekarang marah kerajaan tapi....

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Lemah dan teruknya kerajaan menangani bencana banjir - termasuk dalam usaha menyelamatkan mangsa - memang ada kaitan dengan politik. Maka, tidak perlulah marah-marah dengan berkata, “jangan politikkan bencana banjir”, kerana hampir semua yang kelam-kabut dan lintang-pukang itu berkait rapat dengan politik.

Kerana politik merupakan penentu sesebuah kerajaan; kerana sesebuah kerajaan wajib berkhidmat untuk rakyat; kerana rakyat perlu diutamakan dalam sesebuah demokrasi, walau macam mana lemah atau cacat sekalipun demokrasi yang menjadi amalan di negara kita.

Kerana kita bukan rejim kuku besi atau monarki mutlak (walaupun ada suara-suara sumbang yang mahu menuju ke sana).

Kerana kita masih dalam pentadbiran demokrasi walaupun ia perlu segera dibaiki kerana sudah sangat tempang dan kerap pula berat sebelah.

Apabila bencana banjir melanda pada lebih seminggu lalu, kerajaan gagal bertindak pantas. Ia lembab dan acuh tak acuh.

Malah, ada pemimpin kerajaan yang melakukan kerja-kerja kurang cerdik seperti mengadakan majlis pelancaran bantuan banjir penuh berwarna-warni tatkala mangsa sebenar berada dalam keadaan amat mencemaskan.

Ada juga menteri yang bercuti di luar negara.

Malah, amalan antara dua darjat yang bermula sejak serangan wabak Covid-19 dulu, kini terus berlaku. Bot-bot serta peralatan keselamatan dan petugas-petugas yang sepatutnya menyelamatkan mangsa telah mengutamakan VVIP dan VIP.

Ditolak bulat-bulat

Sudah tentu bukan salah penyelamat kerana mereka sendiri terikat dengan birokrasi yang hanya boleh bergerak setelah menerima arahan atasan.

Ketika golongan kayangan didahulukan, rakyat marhaen yang tersadai di atas bumbung atau tersangkut di tepi tangga dan ranting pokok ketika dipukul arus deras hanya mampu terlopong menanti bantuan.

Akhirnya, hanya rakyat yang datang menyelamatkan rakyat. Yang datang menyelamatkan bukannya para menteri yang lebih berminat untuk bergaya semasa meranduk air bersama sekumpulan jurugambar mereka.

Ramai juga pelancong banjir kelas atasan yang datang dengan bot-bot milik kerajaan untuk sekadar bersalaman dengan mangsa banjir.

Untuk jangka panjang pula, masih tiada perancangan dan persediaan serius untuk menghadapi banjir. Yang ada cuma janji-janji manis.

Malah, di Dewan Rakyat, usul tergempar untuk membincangkan usaha menyelamat serta mengatasi bencana ditolak bulat-bulat. Yang ada cuma alasan, dalil dan dalih. 

Yang menjadi misteri ialah, dalam pilihan raya umum nanti, ramai rakyat djangka terus menyokong parti/kerajaan yang lemah, angkuh dan gagal ini, sama ada ia Perikatan Nasional atau Barisan Nasional atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimana buruk dan teruk sekalipun prestasi, sikap dan amalan pemimpin BN/PN, sejarah menunjukkan majoriti rakyat akan tetap memilih mereka untuk menjadi kerajaan.

Jika contoh kecil perlu diberikan, lihat sahaja keputusan pilihan raya negeri Melaka pada Nov lalu yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun anggota komponennya - PKR, Amanah dan DAP - dilihat kerap membantu rakyat di peringkat akar umbi, khususnya sewaktu wabak Covid-19 melanda. PH bukan setakat tewas tetapi ia kalah teruk.

Begitu juga keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini. Walaupun dalam konteks berbeza, ia mempunyai beberapa persamaan dengan keadaan di Semenanjung. PH dan pembangkang lain juga kalah teruk.

Entah mengapa pengundi masih memilih kerajaan yang tidak prihatin dengan keperluan mereka. Tiada siapa tahu sebab-sebab sebenar. Belum ada kajian empirikal tentang hal ini.

Mungkinkah ia melibatkan soal sentimen kaum, agama, budaya, bahasa dan beberapa hal berkaitan? Biasanya, sewaktu pilihan raya, apabila dijaja nama Umno dan dimomok nama DAP, emosi pengundi kaum majoriti mudah digugat.

Namun, apakah emosi dapat menjamin keluarga mendapat makanan yang berkhasiat setiap hari, sebuah rumah sebagai kediaman sejahtera, sedikit lebihan wang untuk berbelanja, berjalan-jalan, kos sara hidup yang berpatutan, dan keluarga bahagia yang tidak bergaduh kerana tekanan ekonomi?

Mendedahkan ketidakcerdikan diri

Namun, hal ini memerlukan perincian, dan bukan berhujah sesuka hati.

Selain ahli akademik, pihak yang kerap kalah pilihan raya sejak akhir-akhir ini, khususnya PH, perlu mencari jawapannya.

PH perlu bertanya pada diri sendiri: Mengapa pengundi tidak berminat dengan PH sedangkan ahli dan pemimpin gabungan itu merupakan orang yang paling rajin membanting tulang ketika banjir serta bencana alam dan pandemik Covid-19 melanda negara?

Malah, NGO atau golongan yang menganggap diri pakar siasah juga perlu sama-sama mencari jawapannya, dan bukan sekadar mengutuk PN/BN dan PH.

Mencari kesalahan itu mudah. Siapa sahaja yang ada akaun media sosial, sama ada yang tulen atau palsu, boleh sahaja melakukannya.

Namun mencari jawapan yang tepat bukan kerja mudah. Persoalan yang perlu dirungkaikan: Mengapa pengundi masih memilih parti/kerajaan yang menekan mereka, membebankan hidup mereka, malah kerap pula menghina mereka? 

Jika keadaan ini dibiarkan, ia akan sentiasa berulang apabila setiap kali mereka yang berada di puncak kuasa mencabul hak, maruah dan harga diri rakyat. 

Dan ia mendedahkan ketidakcerdikan diri kita sendiri sebagai manusia, warganegara dan pengundi.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.