Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bencana akan terus datang selagi ada rasuah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Exco kerajaan Selangor V Ganabatirau memberi amaran bahawa negara akan terus dilanda bencana alam dari semasa ke semasa selagi gejala rasuah wujud di Malaysia.

Dia mendakwa Malaysia adalah sebuah negara yang gagal kerana gejala rasuah berlaku di semua peringkat.

"Punca utama negara kita gagal hari ini kerana gejala rasuah. Kita perlu mengakuinya. Semudah itu.

"Kita masih lagi bercakap mengenai pembangunan secara teratur. Kita ada jurutera yang sangat layak.

"Kita hantar jurutera ini berulang kali untuk menghadiri bermacam-macam kursus di England, kursus di Amerika... semua kursus pergi, tapi, kualiti yang diterima daripada perancangan itu sendiri sangat dahsyat. Ini berlaku kerana rasuah.

"Selagi ada rasuah selagi itulah kita akan berdepan bencana seperti sekarang," katanya kepada Malaysiakini.

Adun Kota Kemuning itu berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pemimpin agar perlu ada kajian mendalam untuk mencegah sebarang bencana alam pada masa depan.

Kemarahan rakyat sedang memuncak

Kata Ganabatirau dalam kejadian terbaru di Taman Sri Muda hujung minggu lalu ada ramai terkorban akibat banjir manakala yang lain kehilangan harta atau sumber pendapatan.

Sesetengahnya kata Ganabatirau mungkin diperolehi selepas mereka menyimpan atau berjimat-cermat seumur hidup.

Kini selepas apa yang berlaku, katanya, tiba-tiba ada pihak menyatakan perlu adakan kajian mendalam supaya semua pembangunan melibatkan di tebing sungai perlu ada penjagaan rapi.

Katanya di sekitar Taman Sri Muda memang agak sensitif dan ia memang difahami semua.

"Ia tidak perlukan kajian. Isunya di sini ialah rasuah dan tiada ketelusan.

"Orang menunggang agama dan kaum untuk bertapak selama-lamanya sebagai pemimpin negara," katanya.

Justeru Ganabatirau berkata dia berharap selepas ini apabila sesuatu kontrak atau tender dianugerahkan ia mestilah dibuat secara telus.

Terdahulu, dia memberitahu hampir 60 peratus kawasan DUN yang diwakilinya itu musnah akibat banjir.

Selain itu tambah Ganabaitirau, hampir 14,000 keluarga di kawasan DUN Kota Kemuning terjejas kehidupan masing-masing.

"Kemarahan rakyat sudah memuncak, tapi kita masih lagi bercakap mengenai perlunya pembangunan secara teratur.

"Rasuah, itulah alasan utama mengapa kita gagal. Akuinya saja," katanya.