Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Berbezanya cara pentadbiran PH dengan k'jaan sekarang urus bencana

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membandingkan bagaimana situasi bencana ditangani ketika pentadbiran PH berbanding apa yang dilakukan kerajaan pada maa ini dalam mengendalikan musibah banjir yang melanda.

Hassan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sangat cekap ketika di bawah bidang kuasa bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail,, tetapi kini dilihat berbeza.

"Nadma yang begitu cekap dan tangkas serta amat bertanggungjawab di bawah Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa Kerajaan PH tiba-tiba menjadi agensi yang lembam, kaku dan lesu di bawah kepimpinan menteri kerajaan BN dan PN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai contoh, Hassan berkata ramai menteri PH bergegas ke tempat kejadian di Pasir Gudang, Johor pada 14 Mac 2019 – sehari selepas dia memfailkan usul tergempar di Parlimen mengenai pencemaran udara yang menyebabkan keracunan gas dalam kalangan penduduk di sana.

Katanya, usul tergemparnya juga diluluskan oleh speaker Dewan Rakyat ketika itu Ariff Mohd Yusof dan ia dibahaskan di dalam kamar khas pada 14 Mac 2019.

Walaupun tidak menyebut kejadian itu secara khusus, Hassan dipercayai merujuk insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac 2019, yang menyebabkan lebih 500 orang dimasukkan ke hospital kerana keracunan.

"Serentak dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan ke Pasir Gudang, Nadma juga menggerakkan segala unit canggih menghadapi bencana pencemaran udara (seperti unit Hazmat) dengan pantas dan tangkas bertindak melindungi rakyat di Pasir Gudang. Nyawa rakyat dapat diselamatkan," katanya lagi.

Sebaliknya, kata Hassan, Apabila berlaku bencana banjir besar di Lembah Klang, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menolak gesaan wakil rakyat pembangkang supaya perbahasan tergempar diadakan.

"Azhar dengan sewenang-wenang menolak tuntutan perbahasan isu bencana banjir itu dengan alasan teknikal iaitu tidak ada permohonan usul difailkan kepadanya," katanya.

Katanya lagi, menteri alam sekitar ketika itu Yeo Bee Yin turut mengadakan sesi pertemuan dengan penduduk Pasir Gudang.

"Tetapi sekarang di zaman kerajaan BN dan PN, pada hari-hari pertama banjir...tidak nampak perdana menteri, menteri tugas-tugas khas (yang bertanggungjawab terhadap Nadma) serta menteri alam sekitar turun ke kawasan bencana banjir di Lembah Klang yang hanya beberapa kilometer sahaja dari Putrajaya.

"Inilah antara perbezaan bagaimana pemimpin Kerajaan PH dan pemimpin Kerajaan BN dan PN menangani bencana negara. Rakyat dapat melihat dengan mata sendiri," katanya lagi.