Skip to main
Logo Malaysiakini

KP Nadma, MKN antara anggota pasukan petugas khas pascabanjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Rodzi Md Saad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Dr Aminuddin Hassim, antara individu yang menganggotai pasukan petugas khas pascabanjir.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, dipengerusikan oleh Mohd Zuki.

“Selaras dengan pengumuman perdana menteri sebentar tadi, satu pasukan ‘task force’ ditubuhkan bagi memastikan pengurusan pascabanjir dan kesiapsiagaan menghadapi gelombang kedua banjir yang lebih responsif dan efektif, berdasarkan maklumat yang tepat dan terkini,” katanya.

Selain itu, pasukan itu dianggotai Panglima Angkatan Tentera Jen Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, serta ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah agensi-agensi kerajaan.

Perdana menteri mengumumkan perkara itu selepas meninjau kawasan terjejas banjir dan aktiviti gotong-royong di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, Hulu Langat oleh sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan keselamatan terlibat.

-Bernama