Skip to main
Logo Malaysiakini

19 lagi terkorban akibat Covid-19, jumlah terkini 31,334 orang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

COVID-19 | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 19 kematian baru semalam, menjadikan jumlah terkini kematian akibat pandemik berkenaan berada pada tahap 31,334 orang.

Daripada jumlah kematian itu tiga orang (15.8 peratus) menghembus nafas terakhir sebelum mendapat rawatan di hospital.

Terengganu pula mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu lima orang, membentuk 26.3 peratus daripada keseluruhan kematian baru yang dilaporkan itu.

Negeri-negeri lain yang merekodkan kematian baru ialah Perak (empat), Pulau Pinang (tiga), Johor (dua), dan bakinya membabitkan seorang mangsa masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Tiada kematian baru dilaporkan di Kelantan, Melaka, Pahang, Perlis, Selangor, Labuan dan Putrajaya.

Setakat semalam sebanyak 1,021 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 1,612 kematian dilaporkan pada Nov, 2,704 pada Okt, 9,678 pada Sept dan 7,641 pada Ogos.

Sehingga semalam, terdapat 44,815 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 16.2 peratus daripada 53,484 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 33.7 peratus daripada 67,548.

Kemas kini selepas tengah malam KKM juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baharu Covid-19 semalam.

Daripada 2,778 kes baru itu, 58 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 yang berterusan.

Daripada kes berkaitan kluster, 50 (86.2 peratus) adalah dari tempat kerja manakala empat (6.9 peratus) dari institusi pendidikan.

Baki kes dikesan kepada kluster yang berkaitan dengan acara keagamaan (3 - 5.2 peratus) dan penularan komuniti (1 - 1.7 peratus).

KKM memuat naik butiran terkini wabak Covid-19 selepas tengah malam di Github sebagai sebahagian daripada inisiatif data terbukanya.