Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda kumpul dana RM1 juta untuk mangsa banjir di Pahang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dalam tempoh hanya empat hari, inisiatif Mari Bantu oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di Pahang.

Menurut Muda dalam kenyataan hari ini, jumlah itu merupakan kesinambungan daripada kutipan sebelum ini apabila RM2 juta berjaya dikumpulkan secara keseluruhan untuk orang ramai yang terjejas dengan bencana alam.

Tambah Muda, setakat ini, kempen #maribantu berjaya membantu lebih daripada 5,000 isi rumah melalui pelbagai inisiatif termasuk gotong-royong pembersihan sehinggalah pemberian bantuan secara langsung.

Inisiatif itu, kata Muda, akan diteruskan untuk mangsa banjir di Pahang yang terjejas teruk.

“Setiap ringgit yang anda dermakan akan dimanfaatkan sebaik dengan melalui proses semak dan imbang dalaman dan luaran.

“Bagi memastikan ketelusan dari pihak kami, laporan berkala perbelanjaan akan diterbitkan dari semasa ke semasa, dan laporan akhir beserta bukti audit akan juga diaparkan kepada orang awam,” kata Muda lagi.

Pahang antara negeri yang teruk terjejas oleh banjir besar yang melanda, sehingga ada kawasan yang terpaksa bertahan selama seminggu tanpa bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang terputus selepas bah melanda.

Buat masa ini, Pahang mencatatkan mangsa paling ramai ditempatkan di pusat perpindahan sementara (PPS).

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pagi ini, bilangan mangsa banjir di PPS Pahang ialah seramai 16,255 mangsa namun ia terus mencatatkan pengurangan berbanding sebelum ini.

Setakat semalam, PPS dibuka dilaporkan hanya membabitkan enam daerah sahaja, manakala tiga daerah iaitu Jerantut, Raub, dan Lipis telah menutup PPS yang ada kerana semua mangsa telah pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir semakin pulih.