Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri pula disindir ‘main sodok-sodok’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas menterinya Rina Harun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula menjadi mangsa sindiran.

Kini videonya bergaya untuk kamera dengan menyodok lumpur pula dipermainkan warga maya.

“Seronok kan PM main-main sodok. Hanya di Malaysia,” kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Sofee, sambil berkongsi video 12 saat itu.

Setakat laporan ini ditulis, status dengan video itu diulang ciap lebih 4,000 kali dan disukai kira-kira 1,500 orang.

Kebanyakan komen menghentamnya.

Ismail dikatakan bergaya demikian dalam program gotong-royong di kawasan banjir.

Dia semalam melawat Hulu Langat dan berhenti di beberapa tempat termasuk Taman Sri Nanding dan Kampug Dusun Tua.

Malaysiakini sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan masih menunggu maklum balasnya.

Semalam rakaman video Rina membersihkan sebuah sekolah di hadapan sekumpulan jurugambar menjadi sohor kini. Malah, longkang dan kaki lima yang disembur air itu dikatakan sudah sedia bersih.

Membela menteri itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan mereka memohon kesudian Rina mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan sukar dicuci.

"Memandangkan peralatan water jet tersedia ada di lokasi pembersihan, YB Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada lapang dan hati yang terbuka," katanya.

‘Tunggu giliran’

Syahredzan Johan, peguam merangkap setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, antara yang turut serta menyindir Ismail dengan meminta “tunggu giliran”.

“PM, tunggu dulu please. Twitter tengah hentam Rina ni. Tunggu turn (giliran),” tulisnya.

Pengguna Twitter @UdaShafiq pula berkata tindakan Ismail itu lebih teruk daripada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Kawasan Hulu Langat terletak di hilir empangan Hulu Langat. Ia turut terkesan dengan banjir teruk minggu lepas.