Skip to main
Logo Malaysiakini

Petugas Putra Specialist Hospital positif Omicron

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (PSHMSB) hari ini mengesahkan bahawa seorang petugasnya disahkan positif COVID-19 bagi varian Omicron, dan beliau kini diletakkan di bawah perintah kuarantin selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

PSHMSB dalam kenyataan hari ini berkata petugas berkenaan sebelum ini telah mengerjakan umrah, dan diuji positif semasa di lapangan terbang.

“Keputusan ujian genom mengesahkan bahawa ia adalah varian Omicron, yang dijangkiti pada 25 Dis. Petugas itu tidak melapor diri untuk bekerja sejak kembali dari umrah dan tiada kontak dengan pesakit atau petugas PSHMSB,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya PSHMSB telah mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu, demi keselamatan pesakit, pelawat, doktor dan petugas, yang amat penting bagi mereka.

“PSHMSB akan terus bekerjasama dengan KKM bagi langkah selanjutnya yang mungkin diperlukan. Bagi operasi di hospital pula, ia kekal seperti biasa, dan pesakit akan terus dengan pelan penjagaan sedia ada di hospital dengan mematuhi semua langkah-langkah keselamatan,” menurutnya.

- Bernama