Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengeluaran tunai RM10,000 KWSP: Muda dan Umno tak sependapat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak sependapat dengan Umno dalam menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran tunai RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebaliknya, Presiden penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat tidak seharusnya dibiar sehingga terpaksa bergantung kepada wang KWSP masing-masing setiap kali krisis seperti bencana banjir melanda.

Kata ahli parlimen Muar itu, tanggungjawab memberikan bantuan kewangan kepada mangsa sepatutnya tergalas di bahu kerajaan - baik kerajaan pusat mahupun negeri - serta syarikat-syarikat pembalakan.

Menurutnya, usaha lain - seperti pengeluaran wang tunai daripada KWSP - boleh menjadi pelan alternatif, tetapi yang harus menjadi keutamaan adalah memberikan bantuan kewangan mencukupi kepada mangsa supaya mereka tidak perlu terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Saya rasa agak tidak baik jika kekhilafan kerajaan persekutuan, negeri, dan tauke-tauke balak yang banyak dapat duit berjuta-juta ini, dilepaskan begitu saja, kerana rakyat (sehingga) perlu ambil duit simpanan hidup mereka.

“Jadi keutamaan adalah untuk memastikan bantuan kerajaan itu mencukupi supaya perkara lain boleh dijadikan pelan B dan C. Bukan saya menidakkan soal i-Citra, tetapi itu tak boleh dijadikan pelan utama.

“Oh, apabila ada krisis, bila tak ada duit, pelan A adalah keluarkan duit i-Citra. Sebenarnya kerajaan yang perlu memastikan bahawa bantuan dana yang mencukupi diberikan, supaya mereka (mangsa) mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media belanjawan maribantu2021, iaitu misi bantuan banjir anjuran Muda, yang turut disiarkan secara dalam talian di Facebook Syed Saddiq.

Sebelum ini, terdapat gesaan agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada KWSP - seperti i-Sinar dan i-Citra - untuk meringankan beban mangsa banjir, termasuk daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Begitu pun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang meluluskan pengeluaran berjumlah RM10,000 daripada KWSP.

Katanya, kerajaan sudah memperuntukkan dana dan bantuan yang cukup bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, bahkan sedia menambah peruntukan itu, selain bimbang dengan baki simpanan pencarum KWSP selepas dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan I-Citra.

Tambahnya, ada dalam kalangan pencarum yang berisiko menjadi miskin tegas selepas pencen.

Antaranya, Ismail mengumumkan bantuan RM1,000 kepada ketua keluarga mangsa banjir, RM10,000 kepada waris bagi mangsa terkorban akibat banjir, serta rebat 100 peratus bil elektrik untuk bulan Disember.

Namun, ada yang mengkritik bantuan RM1,000 itu sebagai terlalu sedikit. Syed Saddiq sendiri berasakan ia perlu ditingkatkan lagi.

“Jika kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan tauke-tauke balak bersama-sama untuk memberikan pampasan, saya yakin ia (bantuan) jauh lebih tinggi daripada RM1,000,” katanya lagi.