Syed Saddiq kongsi kisah Muda bermalam di rumah ketua cawangan Umno
Di pentas politik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Umno adalah seteru dan pantang bersama tetapi di kala musibah, semua itu diketepikan bagi memastikan khidmat bakti dan bantuan sampai kepada rakyat.
Menceritakan pengalaman ketika turun padang membantu mangsa banjir di Temerloh baru-baru ini, Presiden Penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi bagaimana rancangan untuk tinggal sehari, akhirnya bertukar menjadi tiga hari.
Di sepanjang masa itu, katanya, ahli-ahli Muda yang terlibat dalam misi bantuan berkenaan menumpang teduh di rumah seorang ketua cawangan Umno yang juga seorang ketua kampung, meskipun mereka berbeza pendirian politik.
“Bukan cuma seorang dua, kami ada dalam lima atau enam orang. Di depan rumahnya, bendera BN di mana-mana. Bila dia beritahu saya, sama ada saya selesa kerana rumahnya penuh bendera BN, saya kata ‘tak ada masalah’.
“Apa-apa sekalipun, pada masa krisis, ada seruan untuk perpaduan yang kuat, untuk kita bekerja bersama-sama memberi khidmat kepada kepentingan rakyat.
“Kami melalui masa yang hebat bersama-sama. Anaknya pemimpin Muda, ayahnya pemimpin Umno.
“Di akhirnya, kita di sini bersama-sama untuk berkhidmat,” katanya dalam sidang media belanjawan maribantu2021, iaitu misi bantuan banjir anjuran Muda, yang turut disiarkan secara dalam talian di Facebook Syed Saddiq.
Dia berada di sana bagi membantu kerja-kerja pembersihan, dan bantuan kebajikan.
Kata ahli parlimen Muar itu, memang itulah yang cuba dicapai Muda dalam politik- persaingan sihat daripada aspek “politik khidmat” dan “politik dasar”, serta perlumbaan untuk mencapai ke kemuncak, bukannya berlumba untuk jatuh ke bawah.
Katanya, Muda berhasrat membawa semangat perpaduan yang bukan saja merentasi fahaman politik, tetapi juga kaum dan agama.
“Saya di sini bukan untuk menjatuhkan parti lain, saya di sini untuk memastikan kita dapat bersaing secara sihat, untuk berkhidmat terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Sidang media itu diadakan bagi laporan awal misi bantuan banjir Mari Bantu yang digerakkan parti tersebut.
Katanya, setakat petang semalam, Mari Bantu telah meraih kutipan lebih RM2 juta daripada lebih 42,000 penyumbang - jauh lebih tinggi daripada sasaran awal RM10,000 - dengan jumlah yang telah dibelanjakan setakat ini adalah RM 789,521.66.
Syed Saddiq turut memperincikan pecahan bantuan yang telah diberi termasuk toto dan tilam, bungkusan makanan, rumah kontena, air mineral, bot, jet air, barangan sekolah, permaidani, peti ais, lampin pakai buang, tangki air, dan set pakaian.
Dia turut memperincikan jumlah wang yang diperuntukkan untuk setiap pecahan bantuan dan perkhidmatan, serta pecahan aset.
Selain itu, Muda turut melancarkan misi Bangkit, sebagai inisiatif pasca banjir yang menyasarkan bantuan kewangan kepada keluarga terjejas; bantuan barangan rumah seperti peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya; bantuan pendidikan dan kelengkapan sekolah termasuk komputer riba untuk mahasiswa; bantuan undang-undang dan bantuan kesihatan mental dan nyawa.
Menurut Syed Saddiq, semua perbelanjaan akan diaudit bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan Muda.
Oleh itu, dia membuat rayuan terbuka kepada firma audit yang mahu menawarkan khidmat audit secara probono (percuma demi kepentingan awam) atau dengan kadar berpatutan, sesuai dengan misi kebajikan Muda.
Katanya, adalah penting untuk memastikan wang sumbangan rakyat yang merupakan amanah itu, digunakan secara berhemah dan dalam cara yang paling berkesan.
“Di sini, saya ingin membuat rayuan terbuka kepada firma audit yang besar, jika mereka dapat bantu kami …
“We are open book (kami tiada apa hendak disorokkan). Sangat bagus jika mereka dapat memberikan perkhidmatan secara probono, atau diskaun yang besar, kerana kami mahu memastikan setiap sen yang diterima, dibelanjakan dengan baik,” katanya lagi.
Tabung bantuan mangsa banjir menerusi maribantu dilancarkan 18 Disember lalu, setelah banjir melanda Selangor sehari sebelumnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai