Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesara reda rumah pusaka berusia 80 tahun lenyap dihanyut banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pesara berasa sedih tetapi reda dengan nasib yang menimpa dirinya apabila rumah pusaka yang dibina hampir 80 tahun lenyap dibawa arus banjir dalam kejadian di Kampung Tanjung, Karak baru-baru ini.

Adnan Shahabudin, 63 berkata, rumah pusaka itu dibina oleh arwah bapanya sejak tahun 40an.

"Saya lahir di situ. Saya sedih tapi reda dengan nasib saya setelah rumah dibina oleh ayah sudah tiada lagi. 

"Saya beritahu isteri saya kita tak boleh buat apa. Mungkin nasib kita macam itu lah," katanya kepada Malaysiakini.

Berkongsi detik-detik cemas itu, bekas kakitangan jabatan perhutanan itu berkata jumlah hujan yang turun pada Jumaat itu tidak pernah berlaku sepanjang hidupnya.

"Hujan itu memang lebat, sangat luar biasa. Memang tak pernah berlaku. Baru kali ini berlaku.

"Hujan bermula pukul 3 petang dan tidak berhenti. Mula-mula air sampai di halaman. Rumah belum kena banjir lagi, saya kemas-kemas barang yang mungkin boleh dihanyut banjir.

"Tapi dalam masa lima hingga sepuluh minit air meningkat sampai ke lutut," katanya.

Bapa kepada dua anak itu kini tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak.

Adnan berkata, ketika air hujan terus naik, anak buahnya datang untuk membantu dan mereka kemudian menumpang di rumah jiran yang tidak jauh dari situ, manakala kereta diparkir di rumah abangnya.

Namun, katanya, sekitar pukul 10 malam, halaman rumah abangnya telah dinaiki air.

"Saya tanya anak saya ini air hujan ke air apa? Saya pun keluar tengok air sudah melimpah dari sungai dan terus berkemas datang ke PPS ini," katanya.

Adnan berkata setelah sampai ke PPS, mangsa banjir yang lain memberitahu bahawa air sudah sampai ke bumbung rumah.

"Saya cakap kepada isteri mungkin rumah kita sudah tak ada. Saya beritahu dia kita tak boleh buat apa, nasib kita macam itulah," katanya.

Kata Adnan, selain rumah dihanyut banjir, dia turut kehilangan sebuah kereta. Malah kereta anak buah yang datang membantu juga mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, Adnan berkata pegawai dari Pejabat Daerah Bentong berjanji akan menggantikan rumah baru.

"Pejabat daerah janji cuba gantikan satu rumah. Sementara itu mereka minta saya cari rumah sewa dan akan bayar sewa bulanan.

"Saya juga berterima kasih kepada Tengku Mahkota Pahang yang sudi melawat kami,"katanya.