PM tak hadir acara Krismas: Wan Saiful bidas Kit Siang
Pemimpin Bersatu membidas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang mengkritik ketidakhadiran perdana menteri pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Natal.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, anggota Parlimen Iskandar Puteri itu tidak perlu memainkan sentimen sedemikian di saat musibah melanda.
"Perkara sebegini pun nak dijadikan isu? Tak bolehkah DAP berhenti menjadi parti chauvinis yang suka mainkan isu kaum dan agama?
"Penganjur pun tak ada yang bagi komen negatif tapi DAP pula yang pipi tersorong-sorong ambil kesempatan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Kit Siang dalam hantaran di Facebook berkata, ketiadaan Ismail Sabri Yaakob dalam majlis minum petang Krismas menunjukkan kegagalannya sebagai perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia dan kegagalan slogan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebuah keluarga yang inklusif tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.
Sementara itu Wan Saiful berkata, dia tak faham kenapa DAP timbulkan isu perkauman dalam waktu sekarang ketika rakyat tanpa mengira bangsa dan agama berganding bahu membantu mangsa banjir.
"Perpaduan yang kita dapat lihat dalam misi bantuan banjir, DAP tak nak komen pula?
"Lebih elok pemimpin DAP diam saja daripada sengaja nak pecahbelahkan keharmonian negara," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai