Taman Sri Muda: Apa selepas bah surut?
Selepas lebih seminggu Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor dilanda banjir teruk, penduduk masih memerlukan bantuan pihak luar untuk mendapatkan keperluan harian dan makanan.
Keadaan semakin pulih, air tidak lagi bergenang dan penduduk masih sibuk membersihkan rumah masing-masing.
Oleh kerana kebanyakan kedai masih tidak dibuka, mereka masih bergantung kepada bantuan luar.
Tinjauan Malaysiakini mendapati hampir semua kedai di Seksyen 24 dan 25 di Taman Sri Muda masih tidak dibuka.
Kedai-kedai ini terjejas teruk akibat banjir yang mengakibatkan kerugian beratus ribu ringgit.
"Tidak sempat untuk buka kedai buat masa ini. Kedai kami rosak teruk. Perlu masa yang panjang untuk membuka semula.
"Penduduk Taman Sri Muda tidak boleh membeli dengan kami. Mereka juga tiada kenderaan untuk keluar beli barangan keperluan harian," kata seorang pemilik pasar mini yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Tan.
Katanya, dia sendiri menerima makanan daripada kawan-kawan yang tinggal di luar.
"Lagipun, kami sibuk membersihkan kedai dan rumah. Tidak ada masa untuk masak," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik bas kilang berkata kerajaan perlu menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas perniagaannya.
M Gobi, 47, pengusaha bas kilang mengalami kerugian teruk lebih RM300,000.
"Dalam kes saya, hampir 13 bas kilang saya rosak. Satu bas memerlukan lebih kurang RM20,000 hingga RM30,000 untuk dibaiki. Pergi bengkel, orang bengkel kata kena tunggu kerana terlalu banyak kereta untuk dibaiki.
"Kalau tunggu lebih lama, bas akan berkarat. Lagi rugi. Hasil kerja saya selama 20 tahun hilang dalam sehari.
"Saya harap kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada para ahli peniaga dan pengusaha dari Taman Sri Muda yang terjejas teruk kerana banjir," katanya.
‘Saya ada 5 penyakit’
Sementara itu, kebanyakan penduduk masih tidak mempunyai sebarang rancangan untuk meneruskan kehidupan selepas banjir.
"Saya ada lima penyakit.
"Saya boleh bertahan walaupun banjir teruk tapi untuk orang Sri Muda saya tak rasa mereka boleh bertahan sebab mereka perlu banyak barang dan pihak bantuan banyak tak boleh masuk.
"Rancangan saya hidup macam biasa. Kebanyakan yang datang ambil gambar sahaja.
“Saya tinggal rumah sendiri untuk jaga keselamatan penduduk di sini," kata seorang penduduk dikenali sebagai Adgas.
Sementara, kawan Adgas, Bob, 40 berkata bantuan pampasan RM1,000 yang diumumkan kerajaan tidak mencukupi.
"Rumah nak baiki sahaja cukup ke RM1,000?” katanya.
Berbeza pula pengalaman seorang pemasang kamera litar tertutup (CCTV) yang mahukan pampasan RM1,000 itu walaupun tidak tinggal di Taman Sri Muda.
"Saya berasal dari Kedah. Saya datang ke Shah Alam pada Jumaat lalu, nak pasang CCTV di sebuah kedai di Taman Sri muda. Pada Jumaat, saya menginap di sebuah hotel di sini.
"Malam itu, banjir melanda. Saya terperangkap di sini hampir lapan hari. Kereta saya rosak. Nak buka pintu kereta pun tak boleh.
"Terpaksa tunda kereta ke Port Klang untuk membaiki. Saya harap kerajaan mempertimbangkan kes saya (untuk layak terima pampasan)," katanya yang memperkenalkan dirinya sebagai Sabri.
Orang awam terus beri bantuan
Tinjauan Malaysiakini mendapati orang awam terus memberi bantuan kepada penduduk Taman Sri Muda.
Seorang aktivis K Umakanthan berkata dia bersama beberapa individu lain meneydiakan khemah di Seksyen 25 untuk mangsa banjir yang memerlukan.
"Ramai di antara kami tidak kenali satu sama lain. Tapi, mereka datang secara sukarela membantu penduduk Taman Sri Muda.
"Kami di sini menyediakan makanan masak, barangan keperluan harian termasuk tilam, bantal, bahan cuci rumah, periuk masa dan banyak lagi.
"Sehingga sekarang, kami telah mengedar barang-barang hampir RM90,000.
"Saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tak kira bangsa dan agama sudi datang ke depan membantu penduduk di sini," katanya.
Lepas PPS ditutup kini fokus di kawasan perumahan
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKT Ladang Emerald, satu-satunya PPS yang beroperasi dengan bantuan orang awam, ditutup secara rasmi.
Penyelaras PPS itu, K Thayalan berkata dia bersama sukarelawan kini memberi fokus membersihkan rumah penduduk.
"Kami telah secara rasmi menutup PPS ini pada Sabtu, selepas beroperasi lebih lapan hari.
"Kami sedang mengaturkan kenderaan kepada penduduk untuk balik ke rumah serta menyediakan sukarelawan untuk membersihkan rumahnya.
"Pada pandangan saya, Taman Sri Muda memerlukan jangka masa panjang untuk kembali normal. Sehingga itu, mereka perlu bantuan daripada orang awam," katanya.
Mengurus sampah-sarap
Sementara itu, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau berkata perkhidmatan pengangkutan sampah masih tidak mencukupi walaupun banyak yang telah diangkut keluar.
Exco Selangor itu berharap kerajaan pusat, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut membantu.
"Saya faham perkara bukan mudah untuk membersihkan kawasan ini, tapi kalau kita tidak selesaikan dalam jangka masa yang pendek, mungkin kita akan ada penyakit-penyakit yang lain akan dialami masyarakat di sini.
"Saya harap, kerajaan mana sekali pun, khususnya KPKT di mana menterinya Reezal Merican menghubungi saya dan berjanji akan turun untuk membantu," katanya.
Berkaitan keadaan mental penduduk pula, katanya, mereka masih trauma dengan apa yang berlaku.
"Saya melihat ribuan orang telah kembali untuk bukan untuk menduduki tapi mencuci rumah.
“Mereka masih lagi dalam trauma yang begitu besar sekali,' katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai