Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet patut arah lembaga penasihat SPRM siasat Azam - MP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli Parlimen PKR menggesa supaya kabinet campur tangan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diselar kerana tidak bertindak terhadap dakwaan pemilikan hampir dua juta saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sebuah syarikat.

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menggesa kabinet mengarahkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu daripada lima badan pengawasan di bawah SPRM, menjalankan siasatan berhubung dakwaan serius yang menyelubungi pegawai kanan SPRM itu.

“Kabinet perlu campur tangan untuk menyelamatkan reputasi SPRM,” katanya kepada Malaysiakini.

Tegasnya, rombakan terhadap badan pencegahan rasuah itu perlu dilakukan.

Pada 27 Dis, Edmund Terence Gomez bertindak meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM selepas gagal membincangkan laporan yang membabitkan Azam.

Gomez juga menulis surat kepada Pengerusi LPPR SPRM Abu Zahar Nika Ujang sebanyak tiga kali, mencadangkan agar beliau menghadiri lembaga penasihat untuk membentangkan laporan.

Ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009, LPPR adalah panel yang bertanggungjawab untuk menasihati suruhanjaya itu dari segi dasar dan operasi.

Sivarasa berkata insiden itu telah menunjukkan bahawa pencegahan rasuah bukan hanya mengenai penubuhan yang dipanggil badan pengawasan di bawah undang-undang dan sekadar berkata "kami telah menjalankan tugas kami dan badan-badan ini akan memastikan integriti SPRM adalah utuh".

“Apa yang asas ialah sama ada individu dalam badan pengawasan itu mempunyai integriti untuk melakukan tugas mereka.

"Dalam kes ini, terdapat kegagalan institusi yang besar. Ketua SPRM berdepan dakwaan serius yang membayangkan tingkah laku rasuah dan badan penyelia gagal bertindak.

"Mesej yang salah dihantar oleh SPRM sendiri - bahawa tingkah laku rasuah boleh diterima," tambah Sivarasa.

Ahli parlimen itu menggesa Dewan Rakyat supaya memainkan peranannya dalam isu ini melalui jawatankuasa pemiihan parlimen.

"Jawatankuasa pemilihan berkaitan boleh memanggil pegawai SPRM termasuk ahli panel pengawasan untuk bertanya mengapa mereka tidak bertindak seperti yang disarankan oleh Gomez,” katanya.

Sivarasa, yang juga sebahagian daripada Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Rakyat, berkata Ahli Parlimen pembangkang telah meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti perkara itu.

"Kami akan mempertimbangkan untuk merujuk perkara ini kepada jawatankuasa pemilihan yang mempunyai pengawasan terhadap institusi," katanya.

Dia meminta pihak polis supaya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

Malaysiakini telah menghubungi Azam untuk meminta komennya mengenai tuduhan terhadap dirinya.