Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda didaftarkan secara rasmi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan bahawa partinya telah didaftarkan secara rasmi pada 23 Disember (Khamis) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurut Syed Saddiq, pengumuman itu dilakukan hampir seminggu daripada tarikh tersebut disebabkan isu banjir yang melanda di beberapa negeri minggu lalu.

“Muda ini adalah parti yang berkhidmat, dan apabila kita ni parti berkhidmat, keutamaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat.

“Kita tidak ingin krisis banjir itu ditenggelamkan dengan berita politik iaitu pendaftaran Muda.

“Sebab itu kita mengambil pendirian dan ketetapan untuk fokus dahulu. Kita pun berada di seluruh Malaysia untuk misi banjir dan untuk meringankan beban rakyat dan hanya seminggu selepas itu baru kita maklumkan berita baik ini,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari, serta membayar kos sebanyak RM10,000.

Sebelum ini Muda mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Menyentuh mengenai keahlian partinya, ahli Parlimen Muar itu berkata setakat ini Muda menerima lebih daripada 60,000 keahlian dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Katanya, proses permohonan keahlian parti muda amat mudah dan cepat dilakukan melalui muda.my, dan ia tidak melibatkan sebarang birokrasi.

“Agak menarik apabila kita mempunyai peningkatan (jumlah keahlian) dari golongan yang agak berumur sekitar 40an hingga 60an, terutamanya apabila kita berjaya mengumpul dana dan usaha ketika banjir, dan angka (keahlian) meningkat berbanding sebelum ini.

“Saya rasa paling tua berusia 83 atau 84 tahun.

“Mereka adalah ibu bapa yang mahukan masa depan yang cerah untuk anak mereka, atuk dan nenek yang mahukan cucu mereka mewarisi negara Malaysia yang benar-benar inklusif, sederhana dan maju,” katanya.