Skip to main
Logo Malaysiakini

Agong nasihat pihak berkuasa supaya tak leka hadapi banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagan menghadapi banjir.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka bertitah menasihati rakyat supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku bencana banjir besar akibat hujan berterusan.

"Sehubungan itu, Baginda menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

"Baginda menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi dan juga pedalaman dapat dilaksana dengan pantas dan berkesan," katanya dalam kenyataan.

Titah Yang di-Pertuan Agong susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari 2022.

Amaran itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kelmarin bagi memastikan orang ramai di kawasan berkenaan berwaspada.

Dalam pada itu, Ahmad Fadi berkata Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir, agar peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan.

"Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga," katanya lagi.

Seri Paduka juga menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana-bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi kemungkinan khususnya segala urusan pasca banjir.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

"Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana," kata Ahmad Fadil.