Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Tumpu usaha mitigasi banjir di Sabah, bukan projek sky train

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya sedia mengetuai mogok lapar sebagai bantahan terhadap cadangan projek Sky Train Kota Kinabalu melainkan jika kerajaan Sabah mengubah keutamaannya kepada projek mitigasi banjir di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya yang melibatkan kepentingan ratusan ribu penduduk.

Pelan pembinaan mitigasi banjir khususnya di Kota Kinabalu sudah pun ada, telah diluluskan, persoalannya saat ini kenapa projek tersebut tidak disegerakan?

Kenapa tiba-tiba seolah-olah kerajaan mengalihkan fokus kepada projek sky train yang bernilai RM2.4 bilion itu? Adakah tunggu banjir besar sekali lagi baru disegerakan?

Sebagaimana yang lain, saya ingin melihat Kota Kinabalu dibangunkan dengan baik dan terancang, namun masalah banjir yang melanda Kota Kinabalu hampir serupa keadaannya dengan apa yang berlaku di Shah Alam pada 18 Disember lalu - banjir buruk dan kekerapan suhu panas di kawasan sekitar Kota Kinabalu diikuti kekerapan hujan yang lebat.

Mungkin sesetengah orang melihat masalah banjir di Kota Kinabalu tidak serius tetapi ia sebenarnya serius. Justeru, sekiranya projek mitigasi banjir tidak dilaksanakan segera, Kota Kinabalu dijangka akan terkesan teruk seperti Shah Alam - Taman Sri Muda. Kita tidak boleh membiarkan perkara yang sama berulang.

Jadi, inilah yang perlu diberi keutamaan khususnya di Kota Kinabalu, Penampang, Sukud, Inanam dan Telipok yang sering dilanda banjir. 

Segala sumber dan keutamaan harus difokuskan kepada projek mitigasi banjir dan bukannya projek sky train seperti yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Jimmy Wong

Saya dengan rendah diri ingin memberitahu kementerian terbabit bahawa saya belum pernah melihat adanya sky train di New York, Singapura mahupun Hong Kong. Ia amat tidak praktikal. Sky train tidak membantu menghalang banjir. Ia juga tidak membantu mengekang kesesakan lalu lintas. 

Untuk mengurangkan kesesakan secara drastik ialah dengan sistem Rapid Bus Transit bertingkat. Sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kota Kinabalu 2013 - 2018 , saya telah banyak kali menyuarakan isu mengenai banjir dan mitigasi banjir, kesesakan lalu lintas dan sistem Bus Rapid Transit bertingkat.

Projek sistem Bus Rapid Transit ini telahpun diumumkan dalam belanjawan persekutuan pada 2017 dengan peruntukan sebanyak lebih RM1 bilion untuk laluan Kota Kinabalu, ketika itu saya merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan pada masa yang sama Datuk Yeo Boon Hai menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar. 

Kerajaan Persekutuan BN telah meluluskan projek ini namun tidak dilaksanakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan. Persoalannya mana perginya projek tersebut? Apa telah berlaku pada belanjawan yang dibentangkan? 

Sebagai makluman bersama, pakej projek tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan-laluan lama dengan tambahan peruntukan untuk kemudahan dari kalangan pengguna tua dan muda; penunggang basikal dan motorsikal, pejalan kaki, serta kemudahan lain.

Jika negara China boleh membina jambatan dari Macau ke Hong Kong, mengapa tidak di sini – kos pembinaan sistem Bus Rapid Transit bertingkat ini lebih murah berbanding projek sky train dan perbandingan kos kedua-dua cadangan ini boleh dilakukan oleh pakar atau, saya boleh memberikan cadangan untuk melihat sama ada kosnya lebih rendah. 

Amat menghairankan, jika selama ini kita bercakap tentang sistem Rapid Bus Transit bertingkat, mengapa tiba-tiba bertukar kepada projek sky train yang diluar jangkaan dan lebih mahal, ia tidak mampu menghalang banjir dan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan inilah mesej yang ingin saya tekankan kepada kerajaan - jangan laksanakan projek yang tidak relevan ini.

Sebagaimana cadangan sky train dan projek terowong di Pulau Pinang, saya tidak ingin perkara seperti itu berlaku. Kita ingin melihat projek sistem Rapid Bus Transit bertingkat dan projek mitigasi banjir dilaksanakan dalam kadar segera untuk mengurangkan kesan banjir yang sering berlaku di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

Saya mendesak agar kerajaan melaksanakan pelan induk mitigasi banjir dengan segera dalam tempoh lima tahun ini, pembersihan dan pembesaran saliran perparitan serta memastikan pam air dalam keadaan baik, tidak seperti apa yang terjadi di Taman Sri Muda yang apabila berlakunya banjir, pam 'hilang' (akibat kerosakan tidak diselenggara). 

Pihak berkenaan seperti jurutera sentiasa perlu siap siaga dan kompetetif mengendalikan kecemasan. Situasi kecemasan dan kelewatan bantuan yang berlaku di Selangor amat menyedihkan. Kerajaan Sabah harus belajar dari apa yang berlaku di Selangor.

Sebagai anak jati Sabah, saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak menyokong projek sky train ini. Saya lebih peduli tentang cuaca dan bagaimana ia memberi kesan kepada ratusan ribu penduduk Kota Kinabalu.

Saya sedia mengetuai mogok lapar untuk menarik perhatian supaya kerajaan segera memberi keutamaan melaksanakan projek mitigasi banjir.


JIMMY WONG merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

Pandangan yang dilontarkan dalam tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.