Skip to main
Logo Malaysiakini

Adly gesa KM Melaka siasat projek penambakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menghentikan beberapa projek penambakan yang telah dianugerahkan oleh BN.

Dia mengkritik kerajaan negeri BN sekarang kerana menurutnya, tidak menyiasat dan mengkaji semula rancangan projek penambakan AJA yang telah menimbulkan kontroversi.

Pada 28 Dis di Dewan Undangan Negeri, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali menyatakan bahawa projek penambakan itu telah dianugerahkan semasa pentadbiran PH.

Sebagai maklum balas, Adly (atas) dalam satu kenyataan semalam berkata: “Ketika PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, sejumlah lebih 8,000 ekar kawasan tambakan laut telahpun diberikan kelulusan oleh kerajaan BN.

"Selepas PH mengambil alih kerajaan pada 9 Mei 2018, sebahagian konsesi penambakan laut telah ditamatkan dan sebahagian lagi diteruskan, tertakluk kepada pandangan teknikal yang diberikan oleh jabatan dan agensi kerajaan.”

Pengerusi PH Melaka itu menjelaskan jumlah pampasan diambil kira semasa memutuskan konsesi penambakan yang akan ditolak.

Dia berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan komitmen pemaju, peringkat permohonan projek serta potensi risiko dibawa ke mahkamah.

"Selain daripada itu, kelulusan untuk meneruskan projek sedia ada juga turut bergantung kepada kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian kesan sosial (SIA) dan penilaian kesan warisan (HIA) dan lain-lain syarat yang ditetapkan oleh jabatan dan agensi teknikal berkaitan.

Justeru, Adly menggesa Sulaiman supaya menyiasat dan mengkaji semula projek penambakan AJA.

Adun Bukit Katil itu berkata kawasan konsesi penambakan itu telah dianugerahkan oleh kerajaan BN pada 2016 dan 2017.

Adly berkata, bantahan NGO dan beberapa ahli Parlimen perlu diambil kira.

"Memandangkan kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu projek

penambakan laut itu diteruskan atau tidak terletak dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka ketua menteri selaku ketua kerajaan negeri bertanggungjawab untuk membuat semakan semula kelulusan penambakan laut sama ada ia wajar diteruskan atau tidak dengan mengambil kira situasi semasa.

"Kerajaan negeri dan pihak SPRM juga diingatkan agar siasatan SPRM tidak hanya terhad kepada kawasan tambakan 300 ekar tersebut, tetapi juga terhadap kelulusan terhadap projek konsesi penambakan terbaharu kerajaan negeri yang melibatkan kawasan tambakan seluas 1,190 ekar," katanya.

Jawatankuasa semakan penambakan diperlukan

Adly berkata Sulaiman juga berjanji untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula projek-projek reklamasi di Melaka secara keseluruhan.

"Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keseluruhan projek penambakan laut Negeri Melaka.

"Justeru itu, saya mencadangkan agar penubuhan jawatankuasa itu disegerakan dan wakil bukan kerajaan serta NGO turut dilibatkan," katanya.

Projek AJA yang dirancang untuk menambak tanah seluas 300 ekar berhampiran pekan Klebang kini dalam peringkat EIA.

Pemaju projek itu ialah Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd.

Semakan Malaysiakini terhadap laporan EIA mendapati empat syarikat milik bekas timbalan exco Ghazale Muhamad dan Timbalan Presiden Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad telah dianugerahkan 300 ekar antara Jun 2016 dan Februari 2017.