Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR mahu JAS batalkan kelulusan rancangan bina PDF di Gebeng

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR Pahang mahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) membatalkan kelulusan kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan.

Penyelaras PKR DUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Pengurus PKR Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail meluahkan pelbagai kebimbangan mengenai PDF itu, termasuk kemungkinan terdedah kepada banjir masa depan.

“Kawasan perindustrian ini berada di kawasan yang rendah dan mempunyai ‘Water Table’ yang tinggi. Kami sangat khuatir perubahan iklim dunia pada masa hadapan akan menyebabkan kawasan ini kerap berlaku banjir dan tenggelam.

“Ini boleh menyebabkan risiko terjadinya bencana akibat pencemaran sisa-sisa radioaktif yang berada di situ,” kata mereka dalam dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka juga menyatakan kebimbangan bahawa PDF itu terletak terlalu dekat dengan kawasan perumahan.

JAS meluluskan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk PDF tersebut pada 28 Dis.

Projek itu akan menguruskan pelupusan sisa air radioaktif (WLP) daripada loji nadir bumi Lynas.

Laporan EIA projek itu menyatakan bahawa projek PDF tidak akan menimbulkan risiko banjir atau membawa kepada pencemaran air bawah tanah dan Sungai Baluk - sungai yang paling hampir dengan tapak itu - melainkan jika senario terburuk berlaku, contohnya, "peristiwa hujan melampau" .

Kontraktor utama PDF itu ialah Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB). Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), memaprkan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah adalah pemegang saham terbesar GSSB dengan 50 peratus kepentingan.

Tengku Hassanal, 26, adalah putera Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dua lagi pemegang saham ialah Naib Ketua Umno Bentong Johari Harun dan Mohd Firdaus Redzuan.

Pengkritik telah mempersoalkan sama ada GSSB mempunyai kepakaran untuk membangunkan dan mengekalkan PDF itu.