Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana Mitra: Apa cuba disembunyikan Kementerian Perpaduan, tanya Kula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP mengecam keputusan Kementerian Perpaduan Negara untuk tidak mengadakan taklimat mengenai isu dana unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran, berkata keputusan dibuat menteri Halimah Mohamed Sadique mengejutkan kerana sebelum ini ia dijanjikan akan dibuat pada pada 14 Jan 2022.

Katanya orang ramai tidak sabar-sabar untuk mendengar pendedahan terperinci mengenai Mitra dan dakwaan salah urus yang telah berlaku sebelum ini.

"Justeru, apa yang cuba disembunyikan oleh kementerian itu dengan mengadakan taklimat tapi tidak membincangkan mengenai Mitra" katanya kepada Malaysiakini.

Menurut ahli parlimen Ipoh Barat itu lagi, hal tersebut dinyatakan Halimah kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun yang mengesahkan bahawa sesi taklimat yang dirancang hanya akan membincangkan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dan tiada apa-apa mengenai Mitra.

Terdahulu, Kulasegaran yang juga bekas menteri sumber manusia memberitahu, Halimah perlu menilai semula untuk keperluan membincangkan skandal Mitra.

Katanya isu berkenaan sangat mendesak untuk dibincangkan kerana dana tersebut boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan komuniti India.

"Ia tidak berguna jika perbincangan tidak menyentuh dengan perbuatan salah yang telah terjadi di Mitra.

Halimah Mohamed Sadique

"Menteri perlu menangani kesalahan dalam Mitra. Berani dan jujur apabila menghadapi perkara yang rumit ini.

"Jangan cuba menutup jenayah kejam ini," katanya.

Tambahnya, skandal Mitra mesti disiasat kerana ia bukan sahaja menangani penyalahgunaan berjuta-juta ringgit untuk melaksanakan program sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia, tetapi ia juga isu salah urus dana selama bertahun-tahun melihat RM400 juta untuk golongan miskin, tidak diagihkan dalam masa dan dikembalikan kepada kerajaan.

Dalam tempoh terdekat

Untuk rekod, pada 17 Nov lalu Halimah berjanji di Dewan Rakyat untuk memberi peluang kepada ahli parlimen pembangkang membangkitkan soalan mengenai Mitra dalam sesi libat urus khas.

Sebelum ini, Halimah berkata keputusan untuk tidak menjawab di parlimen berhubung isu berkenaan Mitra adalah atas nasihat SPRM, kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Mitra.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Pada 22 Nov 2021, SPRM berkata mereka hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat bagi dicadangkan pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.