Skip to main
Logo Malaysiakini

Komuniti 'KakiRepair' bantu mangsa banjir baiki perkakas elektrik, elektronik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli komuniti Grup Facebook yang menggunakan nama 'KakiRepair by KakiDIY' berjaya membaiki lebih 200 perkakas elektrik dan elektronik yang bernilai kira-kira RM200,000 milik mangsa banjir di Sri Muda, Shah Alam .

Pengasas komuniti itu, Johnson Lam, 41 berkata komuniti Facebook 'KakiRepair by KakiDIY' memulakan program bantuan membaiki perkakas elektrik dan elektronik di Sri Muda sejak semalam dan akan berlanjutan sehingga 1 Januari 2022.

“Komuniti KakiRepair by KakiDIY menyumbangkan tenaga dan ilmu. Kami membaiki barang rosak dan mengajar mangsa banjir ilmu dan teknik yang betul untuk menyelamatkan barangan rosak.

“Seperti program kami yang lain, ia percuma dan tidak perlu pertukaran wang atau bayaran atau sumbangan berbentuk wang," katanya

“Ini adalah untuk meringankan beban mangsa dan tidak membuang barangan rosak secara membazir,” tambahnya.

Menurut Lam, antara perkakas utama yang mereka baiki adalah ketuhar elektrik, ketuhar gelombang mikro, dapur gas, periuk nasi elektrik, komputer serta peti ais.

Tambahnya lagi, program berkenaan dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 30 sukarelawan di Sri Muda. Selain itu, katanya, ia juga mendapat kerjasama Eco Free Market, Pusat Pembangunan Teknikal Negeri Selangor (STDC) serta komunit Facebook 'Tukang Apa Hari Ini'.

'KakiRepair by KakiDIY' telah diwujudkan pada 2017 dengan misi mendidik orang ramai dengan ilmu membaiki sendiri perkakas elektrik dan elektronik serta berkongsi kemahiran hidup lain.

 

Tambah Lam, ahli komuniti mereka sudah sering melakukan program percuma seumpamanya di merata lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Dalam empat tahun ini KakiRepair by KakiDIY sudah berkembang dari beberapa ahli ke lebih 26,000 ahli di seluruh negara dan negara jiran Malaysia,” katanya.