Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM lanjut khidmat Pharmaniaga setahun lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) telah melanjutkan perkhidmatan Pharmaniaga Bhd membabitkan penyediaan dan pembekalan perubatan kepada kementerian itu selama setahun lagi mulai 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2022.

KKM telah mengeluarkan surat lanjutan bertarikh 28 Dis kepada anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), sementara menunggu untuk memuktamadkan konsesi logistik serta pengedaran yang baru.

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata skop perkhidmatan yang akan disediakan oleh PLSB adalah sama dengan terma-terma yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi bertarikh 16 Mac 2011.

Dengan pelanjutan itu, Pharmaniaga memberi jaminan bahawa logistik dan pengedaran bekalan perubatan akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Pada 18 Nov 2019, PLSB menerima surat daripada KKM yang telah memperluaskan perkhidmatannya untuk menyediakan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada fasiliti KKM dari 1 Dis 2019 hingga 31 Dis 2021. PLSB juga dibenarkan untuk terus menyediakan perkhidmatan logistik serta pengedaran kepada KKM selama lima tahun berakhir 31 Dis 2024, kata kenyataan itu.

- Bernama