Khairy harap hubungan lebih harmoni dalam Umno
Timbalan Ketua Umno bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin meminta dua kumpulan dalam Umno, yang memihak kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Ismail, Sabri Yaakob untuk membina hubungan yang lebih harmoni antara mereka.
"Saya nampak mungkin ada sikit masalah antara pemimpin-pemimpin yang dalam kerajaan dan tidak ada dalam kerajaan yang sebenarnya dapat diselesai dengan baik,” katanya dalam program temu bual secara langsung bertajuk “Dilema dan Politik Covid” semalam.
"Kadang kita rasa tersempit, sebab kebetulan pula sekarang ini kepimpinan parti tidak dicermin dalam kepimpinan kerajaan, kita di dalam Umno ni selalu sinonim dengan presiden adalah PM, PM adalah presiden umno.
"Menjelang, PAU walaupun ditangguh disebabkan banjir, Omicron dan sebagainya, saya harap kita dapat murnikan balik kepimpinan parti dan kepimpinan kerajaan, sebab akhirnya kita Umno, semua kita daripada Umno.
"Kita mau perkara sama, iaitu victory Umno/BN dalam PRU akan akan datang," kata Khairy, yang juga menteri kesihatan dan ahli parlimen Rembau.
Sementara itu, Khairy mempertahankan tindakan menteri Umno yang dilabel sebagai pengkhianat parti kerana menyokong Perikatan Nasional (PN) semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.
"Parti sudah buat keputusan untuk sokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri di dalam kerajaan yang sedia ada, maksud dalam kerajaan yang ada masih ada PPBM (Bersatu) dan PN.
"Jadi kami menteri-menteri daripada Umno yang ada di dalam kabinet mesti imbangi antara semangat dan hasrat Umno untuk tidak lagi bersama PPBM pada PRU15.
"Kita ikut keputusan parti, tapi selagi kita belum sampai PRU15, kita terpaksa ada, mungkin dalam istilah working relationship, satu hubungan profesional antara parti-parti yang ada dalam kerajaan ini untuk menjayakan pengurusan pandemik dan pemulihan ekonomi.
"Itu yang mungkin saya boleh simpulkan kepada ahli-ahli Umno yang mungkin rasa kluster menteri ini adalah pengkhianat, kerana bersama dengan Bersatu.
"Tidak. Kita ikut apa yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno," katanya.
'Bukan membelakangkan Umno'
Menteri kesihatan itu juga menepis dakwaan bahawa kerajaan cuba membelakangkan Umno dengan melaksanakan SOP yang lebih ketat semasa pilihan raya negeri Melaka dengan menghalang ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah semasa berkempen.
"Untuk PRN (Melaka) ini memang rakyat melihat bahawa PRN bakal mencetus gelombang jangkitan yang baru, sebab rakyat ingatkan kepada PRN Sabah, yang mana pada masa tu tak ada vaksin dan pematuhan kepada SOP adalah sangat longgar. Dan kita tengok kes meningkat mendadak.
"Kita nak elak benda ni berlaku semula, kita terpaksa memperketatkan SOP, dan dalam memperketatkan sop, ada yang marah, kata ceramah tak boleh lawatan rumah ke rumah tak boleh. Mereka kata ni membelakangi parti, saya rasa tidak, saya laksanakan tugas saya sebagai menteri kesihatan," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata Perhimpunan Agung Umno boleh diadakan sekiranya negara tidak dilanda gelombang Omicron yang besar.
"MOH (Kementerian Kesihatan) akan bantu supaya Umno jalankan PAU dengan selamat dan hebat.
"Saya tunggu untuk menghadap presiden untuk memberi maklumat tentang SOP, saya nak Umno menjayakan PAU," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai