Skip to main
Logo Malaysiakini

Apakah ada usaha tutup isu dalam SPRM? - Kit Siang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan apakah terdapat usaha untuk menutup isu yang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia juga mempersoalkan pendirian jawatankuasa pemantau SPRM apabila mereka dilihat gagal mengambil tindakan berikutan peletakan jawatan ahli ekonomi, prof Edmund Terence Gomez daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Gomez meletakkan jawatan selepas mendakwa panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sebuah syarikat senarai awam.

Azam setakat ini belum menjawab permintaan untuk memberikan komen.

Gomez berkata dia membangkitkan isu itu beberapa kali dengan pengerusi PPPR, Borhan Dolah dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Abu Zahar Ujang tetapi tidak diendahkan.

Borhan sebaliknya membidas Gomez dengan memintanya supaya tidak menggunakan panel itu untuk "agenda politik", manakala Abu Zahar dalam temu bual dengan Sinar Harian mencadangkan agar Azam bersemuka dengan Gomez.

Lim berkata Abu Zahar jelas tidak faham kerana isu berkenaan adalah membabitkan Azam dan bukannya Gomez.

"Peletakan jawatan Gomez yang mengejutkan hanya menyoroti isu membabitkan Azam.

"Selama lebih dua bulan, dakwaan serius telah dibuat terhadap Azam, menjejaskan peranan dan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, malah, menimbulkan keraguan terhadap usaha antirasuah SPRM," kata pemimpin DAP itu.

Lim mempersoalkan mengapa Azam masih belum menjawab dakwaan itu dan tiada tindakan diambil oleh jawatankuasa pemantau SPRM.

Tambahnya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga tidak mengambil perhatian terhadap isu berkenaan.

“Apa yang telah dilakukan oleh parlimen mengenai dakwaan ini?

"Adakah terdapat kuasa ghaib yang sedang bekerja untuk 'menutup' isu ini, dan adakah 'kuasa ghaib' ini sampai ke parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri?" katanya.