Skip to main
Logo Malaysiakini

Pencarum berhimpun di depan bangunan KWSP, tuntut pengeluaran i-Citra

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan sepuluh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini gagal untuk bertemu ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi berkenaan bagi membantah tindakan kerajaan menamatkan pengeluaran simpanan KWSP mereka melalui skim i-Citra.

Jurucakap kumpulan itu, Khairul Anuar Othman berkata dia menjangkakan satu mesyuarat akan diadakan bersama CEO KWSP Amir Hamzah Azizan selepas bertemu pegawai KWSP di cawangannya di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur.

Khairul mendakwa mewakili pencarum KWSP lain yang mengalami kesusahan akibat banjir teruk baru-baru ini.

Dia juga menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya mendengar suara kumpulan pencarum itu.

"Dengar rintihan dan suara rakyat. Kami pencarum dalam kepayahan dan derita.

“Bantuan RM1,000 daripada kerajaan dan zakat sebanyak RM600 tidak cukup untuk kami teruskan kehidupan,” katanya.

Khairul berkata kumpulan itu mungkin akan melakukan tindakan susulan, termasuk menghantar memorandum kepada perdana menteri di Parlimen dalam masa terdekat jika suara mereka tidak didengari.

Bagaimanapun, kumpulan pencarum itu tidak mengadakan demonstrasi mahupun berarak dari Pusat Beli Belah Sogo, yang berjarak lima minit berjalan kaki dari cawangan KWSP.

Terdahulu, rancangan berarak dari Pusat Beli Belah Sogo dibatalkan penganjur.

Kehadiran polis dilihat di sepanjang Jalan Raja Laut.

Ismail Sabri dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat membenarkan mangsa banjir membuat pengeluaran KWSP awah skim i-Citra.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka yang dilanda banjir mahu kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran RM10,000.