'2021 tahun malapetaka cuaca ekstrem'
Bencana cuaca ekstrem kesan perubahan iklim yang sering kali mengorbankan nyawa serta kerugian harta benda berlaku di seluruh dunia sepanjang 2021.
Banjir, gelombang haba, ribut, taufan, puting beliung dan kebakaran terjadi selang beberapa bulan, dari tanah air Malaysia ke seberang negara jiran Indonesia, dari Amerika Syarikat ke China, dari Russia ke Eropah, sampai ke India dan Afrika.
Perubahan iklim hari ini berlaku akibat pemanasan global berpunca pelepasan gas rumah hijau hasil kegiatan manusia sejak era perindustrian, terutamanya daripada penggunaan bahan api fosil untuk sumber tenaga serta disebabkan pembangunan ekonomi yang tidak lestari dan memusnahkan alam sekitar.
Paras laut meningkat lebih cepat manakala ais di Artik, Antartika, Greenland dan glasier di banjaran gunung seperti Himalaya dan Andes juga mencair lebih pantas.
Ribut taufan menjadi lebih kerap, kebakaran hutan menghanguskan kawasan yang semakin besar dan banjir bertambah buruk.
Laporan National Geographic bulan Disember menyebut "malapetaka cuaca 2021 membawakan realiti perubahan iklim" ke depan mata umat manusia.
"Gelombang haba. Banjir. Kemarau. Cuaca tahun ini menunjukkan kepada kita perubahan iklim sedang berlaku dan membawa maut," kata laporan itu.
Bagaimanapun, tiada kejadian cuaca ekstrem tunggal yang dapat sepenuhnya dikaitkan dengan perubahan iklim, namun peningkatan kekerapan dan skala bencana bertepatan dengan corak yang dikatakan saintis bahawa ia "selaras dengan peningkatan purata suhu global dan krisis iklim yang semakin teruk."
Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menerbitkan bahagian pertama laporan penilaian keenamnya pada Ogos lalu.
Berhubung dengan taufan dan ribut tropika, para saintis berkata mereka mempunyai "keyakinan tinggi" bahawa bukti pengaruh kegiatan manusia telah diperkukuhkan dalam penyelidikan terkini perubahan iklim.
"Perkadaran ribut tropika yang kuat, purata puncak kelajuan angin taufan tropika dan puncak kelajuan angin taufan tropika yang paling sengit akan meningkat pada skala global dengan peningkatan pemanasan global," kata kajian itu.
Peristiwa cuaca, dikaitkan dengan perubahan iklim, membawa kesengsaraan kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia pada 2021, menurut laporan terkini.
Kajian badan amal antarabangsa Christian Aid, mengenal pasti sepuluh kejadian cuaca ekstrem yang masing-masing menyebabkan kerosakan lebih daripada AS$1.5 bilion.
Kesan kewangan terbesar daripada Taufan Ida yang melanda AS pada Ogos dan banjir di Eropah pada Julai.
"Secara keseluruhan, Ida menyebabkan 95 orang terkorban dan kerosakan berjumlah AS$65 bilion.
"Tiga bulan selepas taufan melanda, ramai mangsa yang dipindahkan masih mencari tempat tinggal yang sesuai," kata laporan berjudul Counting the cost 2021 A year of climate breakdown, terbit pada hujung Disember ini.
Di kebanyakan negara lebih miskin, banjir dan ribut menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk dan penderitaan yang teruk.
Banjir di Jerman, Perancis dan negara Eropah lain pada bulan Julai mengorbankan 240 nyawa dengan kerosakan sekitar AS$43 bilion.
Banjir yang melanda Selangor, Pahang, Kelantan dan beberapa negeri lain bermula 17 Disember lalu telah menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Pada kemuncak bah besar 21 Disember lalu, lebih 71,000 mangsa banjir dipindahkan di enam negeri Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Seramai 48 korban dilaporkan akibat banjir di seluruh negara manakala lima masih hilang setakat ini.
Selangor mencatatkan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20 korban. Baki tiga lagi korban meninggal dunia di Kelantan.
Kerugian di seluruh negara akibat peristiwa bah besar 2021 ini masih dalam proses tafsiran kerana gelombang banjir berikutnya masih menyusul.
Dengan mengolah semula laporan penerbitan tempatan dan antarabangsa, berikut rangkuman berita mengenai perubahan iklim dan cuaca ekstrem bagi tahun 2021:
8 Januari - Hampir 50,000 mangsa banjir Malaysia
Beberapa negeri dilanda banjir dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Sabah menghampiri angka 50,000 orang.
9 Januari: Ribut salji, pecah rekod di Madrid
Salji tebal yang luar biasa dan turun berterusan, terjahan Ribut Filomena menyelubungi sebahagian besar Sepanyol dan meragut empat nyawa.
Ia menjejaskan hubungan ratusan jalan raya, menyebabkan ribuan terperangkap di dalam kereta atau di stesen kereta api dan lapangan terbang terpaksa menangguhkan perkhidmatan.
Madrid mencatatkan salji paling lebat dalam tempoh 50 tahun, dan pihak tentera menyelamatkan orang ramai daripada kenderaan yang terperangkap dari lorong kecil ke jalan raya utama di bandar itu.
19 Januari: Ribut Christoph UK
Ratusan rumah di seluruh utara dan barat United Kingdom dinaiki air dan ribuan penduduk dipindahkan sepanjang tiga hari paling banyak hujan (dari 18 - 20 Januari) yang pernah direkodkan di UK.
Banjir yang disebabkan oleh ribut itu petanda "kejutan iklim" yang semakin teruk di UK, kata pengerusi Agensi Alam Sekitar, Emma Howard Boyd.
31 Januari: Taufan Tropika Ana badai Fiji
Satu daripada tiga taufan tropika yang melanda Fiji pada penghujung Januari.
Taufan tropika Ana mengorbankan seorang dan menyebabkan puluhan ribu orang berpindah dengan kerosakan bernilai jutaan dolar.
7 Februari: Salji, batuan runtuh di Himalaya
Runtuhan batuan dan salji mencetuskan rantaian kejadian yang merosakkan dua loji kuasa hidro dan menyebabkan lebih 200 orang maut atau hilang di Uttarakhand, di India.
Penyelidikan lanjut mencadangkan krisis iklim telah memainkan peranan penting, dengan para saintis mengatakan pencairan glasier "boleh menjejaskan kestabilan apitan gunung dan mengubah rejim hidrologi, sistem haba dan tekanan batuan asas".
13-17 Februari: Ribut salji Texas
Lebih 2.5 juta orang terputus bekalan elektrik selepas ribut salji melanda Amerika Syarikat, dengan Texas terjejas teruk.
Imej satelit yang luar biasa mendedahkan bagaimana ribut salji besar menyelubungi lebih 70 peratus muka bumi AS dengan salji, liputan terluas sekurang-kurangnya dalam tempoh 17 tahun.
Ribut itu mengorbankan sekurang-kurangnya 223 nyawa di seluruh Amerika Syarikat, dengan 210 mangsa di Texas, namun anggaran seterusnya telah meletakkan angka kematian lebih 700 korban.
6-10 Mac: Gelombang haba landa enam kawasan di Kedah, Perak
Enam kawasan di Kedah dan Perak merekodkan tahap satu (berjaga-jaga) dengan suhu harian diramal mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikemas kini setakat 10 Mac, kawasan terlibat ialah Baling dan Kuala Muda di Kedah serta Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak di Perak.
Terdahulu pada 6 Mac tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jabatan itu memaklumkan, lokasi tersebut terletak di Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.
Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
15 Mac: Ribut pasir terburuk di Beijing
Beratus-ratus penerbangan dibatalkan, sekolah ditutup dan kualiti udara mencecah paras berbahaya apabila "ribut pasir terburuk dalam sedekad" melanda ibu kota China.
Terdahulu, ribut pasir itu melanda Mongolia menyebabkan enam kematian, termasuk seorang kanak-kanak, dan lebih 80 orang hilang.
20 Mac: Banjir di New South Wales, Australia
Pada akhir Mac, perdana menteri New South Wales, Gladys Berejiklian berkata negeri itu sedang mengalami "peristiwa cuaca ekstrem yang besar."
Ini selepas ribut melanda pantai timur Australia, menyebabkan Empangan Warragamba melimpah dan memaksa beribu-ribu orang berpindah dan berjuta-juta penduduk Sydney untuk berteduh di rumah mereka.
Puting beliung mini pula melanda pinggir barat Sydney, merosakkan kira-kira 30 rumah dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik.
3 April: Taufan Seroja membadai dari Indonesia ke Australia
Taufan tropika Seroja membawa banjir dan tanah runtuh ke kawasan di selatan Indonesia dan Timor Timur serta kemudian membadai kawasan Australia Barat.
Lebih 150 orang terbunuh di Indonesia, dengan kejadian tanah runtuh dan banjir kilat memaksa sekurang-kurangnya 22,000 orang berpindah dari rumah mereka.
Di Australia, lebih 70 peratus bangunan di bandar Kalbarri telah rosak, dengan beribu-ribu penduduk terputus bekalan elektrik dan air, dalam apa yang dikatakan oleh perdana menteri Australia Barat Mark McGowan sebagai taufan paling teruk melanda negara itu "dalam beberapa dekad."
13 April - Banjir kilat di ibu negara, jalan sesak
Kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar Kuala Lumpur selepas beberapa lokasi dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan.
Antara laluan yang dinaiki air di beberapa tempat ialah di Jalan Kuching, sekitar Taman Wahyu menghala Bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela serta Jalan Raja Chulan, dan sekitar Ampang serta Cheras.
Hujung Mei: Banjir 10 kaki tinggi di Baram
Pada bulan Mei yang lalu, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak dilanda banjir, dengan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Kawasan yang terjejas termasuklah di Hulu Baram seperti Mulu, Long Luteng, Long Kawa, Long Ikang, Long Seridan, Long Panai, Long Iman, Long Bemang dan sepanjang kawasan di hilir, seperti Long Lama, Long Laput dan Kampung Cina di daerah Marudi.
Pada 20 Mei, ketinggian air di beberapa kawasan di Baram mencecah 10 kaki.
24 Mei: Gelombang haba Artik pecah rekod
Gelombang haba di Artik memecahkan rekod suhu di wilayah barat laut Rusia, kata ahli meteorologi.
Dalam kejadian itu, suhu meningkat dengan ketara melebihi 30 darjah Celcius di bahagian Artik, melebihi suhu purata untuk masa dalam setahun.
26 Mei: Taufan Yaas badai India, Bangladesh
Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban di timur India dan negara jiran Bangladesh apabila taufan Yaas yang "sangat teruk" meninggalkan jejak kemusnahan di wilayah itu, memaksa hampir dua juta orang dipindahkan.
Jabatan Meteorologi India berkata Yaas mendarat di negeri pantai timur Odisha sekitar 8.30 pagi dengan angin kencang berkelajuan 130-140 kilometer sejam .
Taufan Yaas menyebabkan kerosakan sebanyak AS$3 bilion dalam beberapa hari sahaja.
Hujung Jun-awal Julai: Fenomena 'kubah haba'
Fenomena "kubah haba" yang melampau terbentuk di kebanyakan kawasan di Amerika Syarikat dan Kanada telah memecahkan rekod gelombang panas berturut-turut pada hari berikutnya apabila suhu mencecah lebih 50 darjah Celcius.
Para saintis berkata fenomena itu berlaku sekali dalam tempoh 1,000 tahun, namun ia 150 kali lebih berkemungkinan berlaku kerana krisis iklim.
Di Kanada, bandar Lytton mencecah suhu 49.6C pada 29 Jun. Keesokan harinya 90 peratus bandar itu musnah akibat kebakaran hutan yang marak, meragut dua nyawa.
Di AS, bahagian California pula mencecah paras tertinggi 49C, manakala bacaan di negeri Washington mencecah 50.5C.
Ia peristiwa cuaca paling maut dalam sejarah Kanada dengan kira-kira 1,000 kematian dikaitkan secara langsung akibat gelombang haba. Di AS, kira-kira 450 orang dipercayai meninggal dunia akibat suhu yang melampau.
Para saintis AS berkata berdasarkan sains meteorologi sedia ada, gelombang haba sebegini "pada dasarnya mustahil" berlaku dan memberitahu pemberita: "Kita sedang memasuki wilayah yang belum dipetakan (diketahui)."
Kepanasan yang kuat terhasil daripada fenomena cuaca yang dipanggil 'kubah haba', di mana kawasan tekanan tinggi bertindak seperti penutup pada periuk dan mengekalkan haba terperangkap di kawasan tertentu.
6 Julai: Kebakaran di Bootleg, Oregon
Bermula pada 6 Julai dan kebakaran berlangsung selama kira-kira lima minggu.
Kawasan seluas 413,765 ekar (1,041 km persegi) musnah dijilat api, menjadikannya kebakaran ketiga terbesar dalam sejarah Oregon sejak 1900.
Kebakaran bermula di tengah-tengah suhu tinggi gelombang haba dan dinyalakan oleh sambaran petir.
12 Julai: Banjir London
Pada 12 Julai, sistem ribut yang menjejaskan Eropah barat telah menurunkan hujan lebat menyebabkan banjir di selatan UK, dengan London terjejas teruk.
Hujan lebat dalam masa lebih sejam menurunkan air dengan nilai sebulan hujan dalam keadaan biasa.
Sejumlah 47.8mm hujan turun dalam tempoh 24 jam direkodkan di Kew, sedangkan purata hujan bulanan pada bulan Julai hanyalah 44.5mm.
Rumah dan kenderaan ditenggelami air, penduduk dipindahkan dari beberapa kawasan, manakala perkhidmatan kereta api dan Tube terganggu teruk kerana banjir menyebabkan pembatalan dan kelewatan tren.
12–15 Julai: Banjir Eropah
Jerman dan Belgium antara negara paling teruk terjejas selepas hujan lebat mengakibatkan banjir luar biasa yang menyebabkan kerosakan meluas dan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal.
Austria, Croatia, Republik Czech, Perancis, Itali, Luxembourg, Switzerland, Romania dan Belanda juga turut terjejas.
Hampir 200 korban di Jerman manakala 42 orang lagi maut di Belgium dengan kerosakan sekitar AS$43 bilion.
20 Julai: Banjir di Henan, China
Banjir di Wilayah Henan berikutan hujan lebat selama berminggu-minggu di situ, disifatkan sebagai yang paling dahsyat dalam tempoh seribu tahun.
Pada 20 Julai, Zhengzhou, ibu kota wilayah itu merekodkan 201.9 milimeter taburan hujan dalam masa sejam.
Secara keseluruhan, banjir itu meragut 302 nyawa.
25 Julai: Belgium banjir lagi
Hanya seminggu selepas banjir besar melanda Belgium, satu lagi ribut membawa hujan lebat yang lebih hebat ke beberapa bahagian negara itu.
Banjir menghanyutkan dan menenggelamkan kenderaan serta menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan.
Jun, Julai, Ogos: Kebakaran di musim panas
Selepas banjir melampau, bahagian lain di Eropah pula dilanda gelombang haba yang menyebabkan negara mereka terdedah kepada kebakaran hutan.
Kebakaran juga meletus merentasi kawasan besar di Amerika Utara, Siberia, timur dan tengah Mediterranean dan Afrika Utara.
Jumlah pelepasan gas rumah hijau pada bulan Ogos adalah yang tertinggi pada tahun 2021, dengan anggaran 378 mega tan karbon dilepaskan ke atmosfera secara global.
Lebih separuh daripada pelepasan itu datang daripada kebakaran di Amerika Utara dan Siberia, dua kawasan yang paling teruk terjejas di dunia.
Hujung Julai-Awal Ogos: Kebakaran hutan di Greece dan Turki
Kebakaran hutan memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka di beberapa kawasan di Greece dan Turki, menghanguskan hutan kering dan menyebabkan apa yang digambarkan oleh Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis sebagai "musim panas yang mengerikan".
Pada Julai dan Ogos 2021, lebih dua ratus kebakaran hutan telah memusnahkan 1,700 kilometer persegi hutan di Turki - yang paling teruk dalam sejarah negara itu.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh di Turki dan tiga korban di Greece.
9 Ogos: Amaran ‘Kod Merah’ untuk kemanusiaan - IPCC
Sasaran untuk menghadkan pemanasan global yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris semakin tergelincir di luar jangkauan, kata amaran pihak berkuasa terkemuka dunia dalam sains iklim.
Krisis iklim, jelas mereka sudah menjejaskan setiap rantau di planet ini.
Beberapa kesan cuaca ekstrem, seperti kenaikan paras laut global, mungkin "tidak dapat dipulihkan selama berabad-abad sehingga beribu tahun," menurut penilaian paling komprehensif daripada Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim (IPCC).
Berhubung dengan taufan dan ribut tropika, para saintis berkata mereka mempunyai "keyakinan tinggi" bahawa bukti pengaruh manusia telah diperkukuhkan dalam penyelidikan terkini mengenai perubahan iklim.
"Perkadaran ribut tropika yang kuat, purata puncak kelajuan angin taufan tropika dan puncak kelajuan angin ribut tropika yang paling sengit akan meningkat pada skala global dengan peningkatan pemanasan global," kata bahagian pertama laporan penilaian keenam IPCC.
12 Ogos: Kebakaran hutan Sicily
Selepas pulau itu merekodkan suhu paling panas di Eropah, kebakaran hutan merebak dengan pantas ke seluruh pulau Sicily di Itali, meragut dua nyawa.
Api memusnahkan pokok dan rumah di tengah dan selatan wilayah itu ketika lebih 3,000 anggota bomba memadamkan kebakaran.
Pakar meteorologi berkata, bandar Syracuse, yang terletak di pantai tenggara pulau itu, merekodkan suhu 48.8C, menetapkan rekod haba Eropah yang baru.
18 Ogos:Tragedi kepala air di Yan
Pada 18 Ogos, fenomena kepala air secara mengejut di kawasan sekitar Gunung Jerai menyebabkan banjir meragut empat nyawa.
Antara lokasi terlibat ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Beberapa NGO menggesa kerajaan Kedah mengadakan siasatan awam bebas bagi memahami punca sebenar bencana itu berlaku, susulan dakwaan kegiatan penebangan hutan, antaranya dikaitkan dengan kuari di Gunung Jerai.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor juga menafikan terdapat sebarang aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.
29 Ogos: Taufan Ida, AS
Taufan Ida yang melanda Jamaica, Cuba, Venezuela, Colombia dan AS mengorbankan 115 nyawa dan kerosakan dianggarkan berjumlah AS$65 bilion.
Ribut itu mendarat di Louisiana, AS dengan angin kencang berkelajuan 150mph (240km sejam). Ia menyebabkan banjir besar dan sejuta orang terputus bekalan elektrik di seluruh negeri.
Ketika ia membadai ke arah utara AS, taufan itu membawa banjir besar di New York City dan New Jersey.
Hujan lebat turun merentasi beberapa negeri dan bandar, dengan New York mengeluarkan amaran kecemasan banjir kilat buat kali pertama.
1 September: Cuaca ekstrem meningkat lima kali ganda - WMO, PBB
Perubahan iklim dan kejadian cuaca yang semakin melampau, telah menyebabkan lonjakan dalam bencana alam sejak 50 tahun lalu, maklum Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dan Pejabat PBB untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) dalam laporan terbaru.
Kata laporan itu, cuaca ekstrem memberi kesan tidak seimbang kepada negara-negara miskin.
Sebanyak 771 bencana yang dikaitkan dengan iklim, cuaca atau air direkodkan dari 1970 hingga 1979.
Dari 2010 hingga 2019 pula, sebanyak 3,165 bencana sedemikian direkodkan.
Sementara itu, kerugian ekonomi telah meningkat tujuh kali ganda dari 1970an hingga 2010an, daripada purata AS$49 juta sehari, kepada AS$383 juta sehari di seluruh dunia.
Ribut, punca kerosakan yang paling lazim, mengakibatkan kerugian ekonomi terbesar di seluruh dunia.
13 Oktober: Dunia tidak berada di landasan betul kawal pelepasan GHG
Dunia tidak berada di landasan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang memanaskan planet kepada sifar bersih menjelang tahun 2050, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran itu pada Oktober.
Dengan tahap pelepasan yang masih meningkat, IEA berkata tindakan segera mesti diambil oleh kerajaan di seluruh dunia.
Sementara itu, tahun 2021 dijangka layak dinobatkan antara tujuh tahun paling panas dalam sejarah dunia, kesemuanya direkodkan sejak 2014, menurut anggaran awal Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
22 Oktober: Nepal dan India banjir
Hampir 200 orang terbunuh selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan India.
Air menenggelami jalan raya, memusnahkan jambatan dan menyebabkan tanah runtuh yang menghanyutkan beberapa rumah.
31 Oktober: Banjir di Kedah
Lebih 500 mangsa banjir di Kedah ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah melibatkan 153 keluarga.
Tiga daerah terjejas itu ialah Baling, Pokok Sena dan Pendang.
1-12 November: Sidang Iklim Cop26 di Glasgow
Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) dikenali sebagai COP26 berlangsung di Glassgow, Scotland.
COP26 bertujuan mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah Celsius daripada sebelum zaman perindustrian.
Ia merujuk kepada purata kenaikan suhu global adalah lebih baik untuk tidak melebihi tahap itu pada akhir abad ini.
Pada sidang yang disertai 197 negara ini, komitmen yang diperlukan untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil dari negara-negara di seluruh dunia tidak dipersetujui selaras dengan skala masa yang boleh mengekalkan suhu daripada meningkat lebih 1.5C.
COP26 juga didakwa gagal merundingkan perkara pokok kesinambungan Perjanjian Paris mengenai komitmen kewangan negara maju dalam mitigasi dan adaptasi serta pampasan kerugian dan kerosakan akibat kemusnahan kesan krisis iklim di seluruh dunia.
Kenaikan suhu bumi lebih daripada 1.5°C atau pun lebih separuh darjah saja lagi akan memburukkan risiko bencana alam kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah, delta, tepian sungai, pesisir pantai dan pulau-pulau.
Pada sidang COP 2010, negara-negara maju dan kaya telah setuju untuk menyumbangkan dana tahunan sebanyak AS$100 bilion setahun menjelang 2020 dan jumlah ini akan ditambah lagi setelah 2025 di bawah Perjanjian Paris, suatu hal yang sepatutnya menjadi fokus COP26.
26 November: Ribut Arwen
Ribut ini menjejaskan United Kingdom, Ireland dan Perancis, dengan angin kencang dan salji.
Tiga orang terbunuh dan puluhan ribu orang terputus bekalan elektrik selama beberapa hari selepas taufan luar tropika, bernama Ribut Arwen, membawa angin dengan kelajuan sehingga 100mph.
Hujan lebat dan salji yang turun di Britain meruntuhkan tiang talian elektrik, menumbangkan pokok dan merosakkan infrastruktur pengangkutan.
Ribut itu menyebabkan tahap gangguan terbesar kepada UK sejak 2005, tetapi kerajaan negara itu memberi amaran bahawa krisis iklim bermakna peristiwa sebegitu akan menjadi semakin kerap pada masa hadapan.
10 Disember: Puting beliung ranapkan Mayfield, Kentucky
Angka korban akibat puting beliung yang melanda Kentucky, Amerika Syarikat mungkin meragut sehingga 100 nyawa, kata gabenor negeri itu, Andy Beshear.
Dia berkata negeri itu seperti sudah "hancur, menyaksikan Mayfield antara bandar paling teruk terjejas."
Puting beliung maut yang mendatangkan malapetaka di empat negeri AS itu mungkin menjadi puting beliung tunggal terpanjang dalam sejarah AS sebaik laluannya ditentukan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Puting beliung yang memegang rekod sebelum ini melanda berhampiran Ellington, Missouri pada 18 Mac 1925 dan melancarkan laluan sepanjang kira-kira 218 batu (350 km), melalui tiga negeri dan dua sungai besar sepanjang jangka hayatnya selama tiga setengah jam.
Laporan awal mencadangkan bahawa puting beliung terbaru pada malam Jumaat itu mungkin telah memecahkan rekod berkenaan. Ia bermula di timur laut Arkansas dan dilaporkan kekal berpusar di atas tanah sepanjang kira-kira 223 batu (374 km) sebelum berakhir di Breckinridge County, Kentucky.
17 - 31 Disember 2021: Bah besar semenanjung ragut 48 korban
Gelombang pertama musim tengkujuh membawa kemusnahan besar kali ini.
Banjir menenggelamkan beberapa negeri mulai 17 Disember lalu dengan ribuan mangsa yang dipindahkan di Selangor, Pahang dan Kelantan.
Pada 23 Disember lalu, seramai 71,876 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri dan di satu Wilayah Persekutuan, dengan sebahagian besar mangsa dari Selangor dan Pahang.
Selain itu, banjir juga melanda Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Setakat 27 Disember lalu, polis memaklumkan seramai 48 mangsa terkorban akibat banjir di seluruh negara manakala lima masih hilang.
Banjir masih berterusan dan pada 30 Dis beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu kembali dinaiki air.
27 Disember: Korban banjir Brazil meningkat 20 orang
Angka korban akibat hujan lebat yang melanda negeri Bahia, timur laut Brazil meningkat kepada 20 orang dan 358 lagi cedera.
Seramai 470,000 orang mangsa banjir terjejas dan 100 daripada 116 kawasan telah diisytiharkan darurat, menurut data yang dikeluarkan majlis perbandaran negara itu.
Hujan berterusan menyebabkan jambatan dan berpuluh-puluh rumah runtuh, manakala jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.
31 Disember: 133 kejadian tanah runtuh sepanjang tengkujuh
133 insiden tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan insiden tanah runtuh berlaku di Selangor adalah 55 kes, Pahang (42), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga), Melaka dan Sabah masing-masing satu.
Agensi itu memaklumkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya melaporkan kejadian bencana di 52 lokasi melibatkan cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.
31 Disember: Api Marshall, Colorado terbakar
Kebakaran yang dikenali sebagai Api Marshall itu mula membakar berhampiran Marshall Road dan Cherryvale Road di Boulder sebelum saiznya marak membesar.
Berpuluh-puluh ribu orang telah dipindahkan dan beratus-ratus rumah telah musnah apabila kebakaran hutan merebak di negeri Colorado AS.
Api yang bergerak pantas sedang marak di Boulder County, utara Denver, dan pegawai berkata terdapat kemungkinan kematian dan kecederaan apabila kebakaran semakin merebak.
Kira-kira 30,000 orang di bandar Louisville dan Superior telah diberitahu untuk meninggalkan rumah mereka pada 30 Dis.
Jan-31 Disember 2020: Kemarau berpanjangan di Afrika Timur
Hampir 60 juta orang tiada jaminan makanan di Afrika Timur, menurut Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Rantau itu, merangkumi Somalia, Ethiopia, dan Kenya, telah mengalami beberapa kemarau sepanjang dekad yang lalu, kebanyakannya berturut-turut. Kemarau juga menjejaskan hidupan liar dan ternakan.
Hujan yang sedikit dan kemarau sejak dua tahun lalu, menjejaskan pengeluaran tanaman dan bekalan air.
Di Kenya, kekurangan hujan sejak beberapa tahun lalu telah mendorong lebih dua juta orang di kawasan gersang dan separa tandus itu bergelut untuk mencari makanan.
Di Somalia, lebih daripada 80 peratus kawasan negara itu mengalami "keadaan kemarau yang teruk" dan 100,000 orang telah terpaksa meninggalkan rumah mereka. Di Ethiopia, konflik bersenjata di wilayah Tigray pula telah memburukkan lagi keadaan akibat kemarau.
Kemarau diunjurkan berlanjutan hingga 2022, dengan impak yang lebih tinggi jika pelepasan karbon tidak dikurangkan.
Menurut penilaian cuaca IPCC, apabila bumi semakin panas, banyak wilayah di Afrika Timur akan mengalami musim kemarau yang lebih kerap.
Kajian badan amal antarabangsa Christian Aid berjudul Counting the cost 2021 A year of climate breakdown, terbit pada Disember ini merumuskan beberapa syor bagi menangani perubahan iklim.
"Untuk mengelakkan bencana selanjutnya, negara-negara di dunia mesti segera mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Walaupun sesetengah negara telah mengemukakan rancangan yang bercita-cita tinggi, yang lain perlu bertindak dengan tindakan yang lebih besar. Pelaksanaan segera harus menjadi keutamaan politik.
"Negara yang lebih kaya berkewajipan menyediakan lebih banyak dana untuk menyokong komuniti terdedah yang tinggal di negara yang lebih miskin supaya membantu mereka menyesuaikan diri dan membina daya tahan terhadap kesan perubahan iklim. Negara-negara miskin ini telah melakukan paling sedikit dalam menyebabkan krisis iklim tetapi mengalami deritanya secara tidak seimbang.
“Secara khusus dana untuk menangani kerugian dan kerosakan yang disebabkan oleh perubahan iklim perlu disediakan menjelang akhir sidang COP27.
"Semua kerajaan mesti melabur dalam peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui. Negara yang lebih kaya perlu menyokong negara membangun supaya mereka boleh mengelakkan laluan pembangunan bahan api fosil yang telah diambil oleh negara yang lebih kaya," kata laporan itu.
Sidang UNFCC COP27 bakal berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir pada tahun 2022.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai