Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM jelaskan mengapa MYSJ Trace keluar notifikasi walaupun di rumah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengguna MySejahtera yang telah mengaktifkan ciri 'MySJ Trace' mungkin mendapati aplikasi itu mempunyai notifikasi “interaction” walaupun berada di rumah, memandangkan ia mampu mengesan peranti lain sehingga jarak 10 meter.

Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mahesh Appannan menjelaskan melalui Twitter bagaimana ciri pengesanan itu berfungsi.

“Biar saya jelaskan 3 perkara yang mungkin anda persoalkan; mengapa ada "interaction" walaupun saya duduk di rumah sahaja?, adakah MySJ Trace mendedahkan data saya bila ada "interaction"? (langsung tidak) dan mengapa masih perlu check-in dengan scan QR?,” ciap Mahesh.

Dia menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan tentang MySJ Trace apabila ia menunjukkan dia mempunyai lapan ‘interaksi’ ketika berada di rumah manakala ibu bapanya pula masih belum mengaktifkan ciri tersebut.

MySJ Trace ialah ciri yang menggunakan fungsi Bluetooth telefon untuk memberikan maklumat langsung tentang interaksi antara kontak rapat, tertakluk kepada kebenaran akses daripada pemilik telefon.

MySJ Trace menggunakan teknologi BLE bagi mengesan kontak rapat iaitu individu yang berada dalam jarak dan waktu tertentu dengan kes positif Covid-19.

Ia dibangunkan untuk membantu pihak berkuasa mengesan kontak rapat sekiranya terdapat jangkitan, di mana ia berguna untuk mengawal penyebaran jangkitan Covid-19.

Mahesh berkata walaupun interaksi mungkin direkodkan, ia tidak semestinya bermaksud pengguna akan secara automatik dikenal pasti sebagai ‘kontak kasual’ kes Covid-19.

Ini kerana algoritma yang digunakan oleh aplikasi itu juga mengambil kira kekuatan signal.

Mahesh juga mengulangi jaminan KKM bahawa privasi pengguna tidak akan terjejas dengan menggunakan ciri tersebut, dengan menekankan bahawa data itu tidak dikongsi setiap kali terdapat interaksi.

Sebaliknya, katanya, data itu hanya akan disimpan di dalam telefon bimbit pengguna, dan mereka hanya akan diminta untuk berkongsi data jika mereka didapati positif Covid-19.

“Data disimpan di telefon anda sahaja. Jika positif Covid, anda akan diminta untuk muatnaik sejarah 14 hari supaya notifikasi dihantar kepada orang yang dikira kontak. Ini memerlukan ‘explicit consent.’

“Jika anda tidak menjadi positif Covid, data anda tidak akan dimuatnaik (dipadamkan lepas 14 hari),” ciapnya.

Mahesh berkata KKM amat menyarankan orang ramai menggunakan MySJ Trace sebagai tambahan kepada fungsi daftar masuk MySejahtera kerana fungsi terbaru itu turut menganalisis jarak antara pengguna, berdasarkan kekuatan signal.