KKMM cadang bina platform tinggi di 1,000 menara telekomunikasi terkesan banjir
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang untuk membina platform setinggi kira-kira tiga meter (10 kaki), di 1,000 buah menara telekomunikasi yang terkesan ekoran kejadian banjir baru-baru ini.
Menterinya Annuar Musa berkata cadangan itu bagi memastikan kerosakan di menara telekomunikasi dapat dikurangkan, sekaligus memastikan perhubungan telekomunikasi tidak terputus terutamanya ketika banjir melanda.
“Saya juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dapat mengambil inisiatif supaya menara telekomunikasi yang berada di lokasi yang terdedah pada banjir, pada masa akan datang agar tidak menggunakan lagi kaedah di mana peralatan berada di ‘ground level’.
“Sistem komunikasi tidak sepatutnya putus walaupun air sudah menaik sehingga 10 kaki… dengan adanya inisiatif ini sekurang-kurangnya orang yang terperangkap di atas bumbung rumah masih boleh menghantar S.O.S (minta bantuan),” katanya selepas Program Jelajah Prihatin KKMM di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 1,000 buah menara telekomunikasi yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan gangguan kepada liputan telekomunikasi ekoran kejadian banjir baru-baru ini telah dibaik pulih.
Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau juga mahu pihak berkaitan termasuk Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia, dapat menggubal sistem penyampaian maklumat yang lebih berkesan di kawasan berisiko banjir termasuk amaran awal.
“Cara yang ada sekarang adalah konvensional sebagai contoh ‘Info On Wheel’ (IOW) dan sebagainya namun ia terhad... tetapi saya mahu maklumat dapat diterima setiap pengguna yang terdedah kepada bencana di mana sahaja mereka berada.
“Kita boleh tengok contoh negara Jepun, apabila nak berlaku gempa bumi walaupun kecil namun maklumat itu sampai kepada setiap pengguna telefon bimbit, bahkan termasuk pelancong turut menerima pesanan itu.
“Walaupun sekarang kita sudah ada sistem namun saya mahu yang lebih baik terutamanya berdasarkan pengalaman banjir baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini seramai 5,000 ahli sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) telah digerakkan untuk membantu melakukan kerja-kerja pascabanjir, termasuk membersihkan rumah penduduk dan sebagainya.
“Jika hendak dibandingkan dengan negara lain, bencana seperti ini (banjir) akan mengambil tiga bulan untuk pulih. Namun, negara kita dapat tangani masalah ini dalam tempoh hanya dua minggu.
“Banyak insiaitif kerajaan yang tawarkan kepada rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain bantuan wang tunai, bekalan makanan dan lain-lain kepada mangsa banjir juga disalurkan dengan cepat dan pantas,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai