Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Rundingan damai Selatan Thai dijadual diadakan di M'sia bulan ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia dilaporkan akan menjadi tempat rundingan damai antara pihak selatan Thailand dengan kerajaan negara itu, yang dijangka berlangsung bulan ini.

Menurut The Star, setakat ini tiada tarikh yang ditetapkan tetapi pertemuan itu secara bersemuka akan diadakan, setelah wabak Covid-19 memaksa kedua-dua pihak mengadakan rundingan secara dalam talian.

Menurut laporan itu lagi ,bekas ketua polis negara Rahim Noor akan meneruskan peranannya sebagai perantara perantara antara kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan ketua perunding pihak kerajaan, Jeneral Wanlop Rugsanaoh.

“Ia (pertemuan) dijadual diadakan pertengahan Januari, tetapi tiada tarikh dimuktamadkan,” kata Rahim seperti dipetik.

Rahim juga berkata perkembangan rundingan “sangat baik” tetapi tidak memperincikannya.

BRN mewakili kumpulan bersenjata di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla - empat wilayah di Selatan Thailand dengan penduduknya majoriti beragama Islam.

Empat wilayah itu mempunyai sejarah panjang pertembungan dengan pihak berkuasa sejak 2004, dengan 7,000 korban setakat ini.

Rahim dilantik sebagai perantara pada Ogos 2018 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Rundingan bersemuka kali terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan Mac 2020.