Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Berdiam diri isu libatkan Azam Baki tanda PM lemah tangani masalah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata tindakan Ismail Sabri Yaakob yang masih berdiam diri berkaitan dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki menggambarkan kelemahannya sebagai perdana menteri dalam menangani masalah tersebut.

Apatah lagi dengan mengambil kira SPRM terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, kata Gobind.

Menggesa Ismail agar bertindak terhadap dakwaan itu, Gobind memetik Seksyen 2 Akta SPRM 2009 berkaitan matlamat utama akta tersebut, iaitu penubuhan sebuah banda pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta.

“Perdana menteri tidak boleh berdiam diri dalam perkara sepenting ini. SPRM berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan dia mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas SPRM.

“Berdiam diri adalah tindakan yang menggambarkan kelemahan pihaknya dalam menangani masalah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat, yang memohon perbahasan dibuat berkenaan dakwaan Azam memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.

Dakwanya, dia dimaklumkan bahawa Azam, antara 2015 dan 2016 sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Isu berkenaan semakin menarik perhatian ramai apabila salah seorang ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan pada 28 Dis lalu dengan alasan pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah, gagal mengambil tindakan terhadap dakwaan berkenaan.

Namun sehari kemudian Borhan mendakwa Gomez tidak langsung membangkitkan dakwaan itu dalam dua emelnya kepada PPPR.

Mengulas lanjut, Gobind turut memetik Seksyen 5 Akta SPRM yang memperuntukkan bahawa ketua pesuruhjaya yang dilantik perlu bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan pengawasan perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

“Adakah perdana menteri komited terhadap objektif tersebut dan jika ya, bagaimanakah sikap berdiam dirinya terhadap dakwaan terhadap ketua pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya itu menangani masalah ini?" soalnya lagi.