Banjir naik cepat, peniaga 'sambut' tahun baru bermalam di restoran
Seorang peniaga terpaksa bermalam di restorannya ekoran air bah yang naik dengan cepat di Dataran Satria Gemas, di Tampin, pada malam tahun baru.
Abdul Talib Idin, 57, berkata beliau tidak mahu mengambil risiko bahaya meredah banjir, tambahan pula kawasan itu telahpun dikepung air.
Katanya sebelum itu beliau meminta 12 pekerjanya supaya pulang ke rumah masing-masing selepas mereka membantunya menyelamatkan beberapa barangan penting ke tingkat atas premis itu.
“Kira-kira 11 malam saya meminta pekerja saya pulang terlebih dahulu, namun selepas itu air naik begitu cepat, saya lihat kawasan ini telah terkepung dengan air, bagi saya bahaya untuk saya pulang ke rumah ketika itu, jadi saya ambil keputusan bermalam di kedai,” cerita Abdul Talib kepada Bernama.
Pada keesokan harinya, apabila air semakin surut, beliau tekad untuk pulang ke rumahnya di Taman Seri Mutiara dengan menaiki motosikal kerana bimbang banjir berulang berikutan cuaca yang tidak menentu.
Abdul Talib, yang telah enam tahun berniaga, turut menyifatkan kejadian banjir yang berlaku di sekitar kawasan itu adalah terburuk yang pernah dialaminya.
Kejadian banjir luar jangkaan di Dataran Satria Gemas itu juga menjejaskan pendapatan penjaja apam balik Aiman Musa, 61, kerana tidak dapat berniaga selama dua hari.
Menurut Aiman kerugian yang ditanggungnya mungkin mencecah ratusan ringgit dan jumlah itu sangat besar buat peniaga kecil sepertinya yang hanya bergantung pada hasil jualan harian.
"Walaupun banjir sudah surut tetapi kita lihat jumlah orang yang datang membeli apam balik di sini berkurangan, mungkin disebabkan ada yang terjejas banjir dan tidak mahu keluar dalam cuaca tidak menentu seperti ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Gemas mendapati keadaan jalan di sekitar dataran tersebut kembali pulih bagaimanapun cuaca masih mendung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas Mohd Farid Abu Bakar berkata buat masa ini paras air di tiga sungai di Gemas iaitu Sungai Kelemah, Sungai Pasir Besar dan Sungai Gemas masih lagi berada pada tahap bahaya, namun paras sungai berkenaan sedikit menurun setakat 2 petang ini.
"Pada masa ini sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini, menempatkan penduduk dari lima buah kampung, dua perkampungan Felda dan dua taman yang terjejas banjir," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai