Skip to main
Logo Malaysiakini

‘PM patut pecat bos SPRM jika tak kerjasama dengan siasatan PSC’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Veteran DAP Lim Kit Siang mahu Azam Baki dipecat sekiranya ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Ini susulan tindakan SPRM dan Azam yang terus berdiam diri berhubung dakwaan berlaku konflik kepentingan apabila dia memegang saham melebihi apa yang dibenarkan untuk penjawat awam.

“Sekiranya Azam tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab mengenai pertuduhan berat terhadap beliau yang dibuat dua bulan yang lepas, Ismail Sabri perlu tamatkan pelantikan beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Azam juga perlu menjelaskan kepada orang awam mengapa dirinya tidak berani untuk hadir di hadapan JPSC untuk menjelaskan pertuduhan berat yang telah berbangkit terhadap dirinya yang menjejaskan komitmen integritinya.

Lim semalam menggesa Azam meletak jawatan jika dia tidak bekerjasama dengan siasatan PSC.

PSC untuk agensi kerajaan diketuai oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai). Bagaiamanpun, dia belum menyatakan sama ada jawatankuasanya akan menyiasat Azam atau sebaliknya.

Setakat ini, dua ahli PSC untuk agensi kerajaan - Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan (PH)-Kota Melaka) dan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) - telah memohon secara terbuka untuk siasatan diadakan.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu didakwa memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam pada 2016, serta 2.15 juta waran dalam sebuah lagi syarikat lain.

Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Perkara itu didedahkan baru-baru ini apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah membangkitkan dakwaan berkenaan di Dewan Rakyat.

Ini diikuti dengan peletakan jawatan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Edmund Terence Gomez berhubung dakwaan panel tersebut enggan membincangkan dakwaan itu.

SPRM dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai perkara berkenaan esok.

Sementara itu, Lim turut menggesa perdana menteri memindahkan SPRM ke Parlimen dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Masanya telah tiba untuk memindahkan SPRM daripada menjadi sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah badan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, yang merupakan satu langkah utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai satu badan utama pencegahan rasuah.

“Dengan pemindahan ini, perlu ada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa untuk memantau kerja-kerja SPRM,” katanya.