Banjir: NUBE sokong tindakan PM tak benar pengeluaran KWSP
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyokong ketegasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata bagi membantu mangsa banjir bantuan yang diberikan oleh kerajaan adalah memadai.
"NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.
"Pandangan yang diterima umum bahawa kerajaan, di peringkat persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan keperluan asas yang mencukupi dan pengagihannya tepat pada masanya, untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir.
"Ia amat kritikal sekarang, di tujuh buah negeri yang dilanda banjir baru-baru ini. Oleh itu, NUBE berpandangan bahawa skim dan insentif yang diumumkan oleh perdana menteri boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tuntutan pengeluaran KWSP RM10,000 secara sekali keluar (i-Citra) merupakan garis panduan kepada naib presidennya Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri pada Ogos lalu.
Ini kata Asyraf sudah tertakluk dalam ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Ogos.
Menurutnya, ketetapan mengenai pengeluaran KWSP itu wajar dilaksanakan Ismail Sabri selagi mana MKT tidak menarik balik ketetapan itu.
Dalam pada itu, J Solomon gerakan menuntut menggunakan dana KWSP semasa bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah.
"Ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19.
"KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai