Skip to main
Logo Malaysiakini

Sukarelawan di PPS ditipu 'mangsa banjir'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang petugas pusat pemindahan sementara (PPS) di Mentakab, dekat Temerloh, tidak menyangka dijadikan mangsa ‘scam’ oleh seseorang yang mengambil kesempatan ketika proses pengagihan bantuan pascabanjir.

Dalam kejadian 29 Dis lalu itu, mangsa, 49, yang juga sukarelawan sebuah NGO dimaklumkan isterinya mengenai seorang wanita yang mendakwa penduduk terjejas banjir dan tidak menerima sebarang bantuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata isteri mangsa yang juga pegawai penyelaras PPS berkenaan kemudian memberitahu bahawa wanita terbabit juga belum mengisi borang bantuan banjir.

Katanya mangsa kemudian meminta suspek mengisi borang pendaftaran sebagai mangsa banjir dan memberikan pelbagai bantuan kepada suspek.

Berdasarkan siasatan awal, kata Mohd Wazir, suspek menggunakan nama orang lain dan berusia 33 tahun.

"Suspek memaklumkan dia iualah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak selain menetap di Kampung Chatin, Batu 2, Mentakab.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas melakukan semakan dan mendapati alamat rumah diberikan suspek adalah rumah tidak berpenghuni atau terbiar,” katanya hari ini.

Mohd Wazir berkata, antara barangan bantuan yang sempat diambil suspek ialah mesin pengisar, periuk nasi elektrik, kipas dan peralatan lain seperti toto, bantal dan selimut dengan jumlah kerugian dianggarkan RM700.

Mangsa tampil membuat laporan mengenai kejadian itu semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.