Skip to main
Logo Malaysiakini

Guna paku untuk bungkus makanan boleh dihukum

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peniaga makanan menggunakan paku, dawai kokot atau bahan berbahaya seumpamanya pada bungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya mana-mana peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.

"Mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan di dalamnya mengandungi bahan memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Noor Hisham Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai penggunaan paku bagi membungkus makanan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

KKM juga katanya mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang khuatir mengenai bahaya kaedah pembungkusan itu.

Katanya terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan dan bukannya menggunakan paku, dawai kokot atau bahan lain boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna.

"Pada masa sama, orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan supaya memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan," katanya.

Noor Hisham berkata mengikut Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tiada sesiapa boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut.

Selain itu Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.

Menurut Noor Hisham, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menganalisis 546 sampel makanan bagi tempoh 2019 hingga 2021 dan daripada jumlah itu, 19 didapati tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga serta cacing dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat.

Selain itu 45,361 tambahnya premis makanan diperiksa di seluruh negara pada 2021 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 697 atau 1.5 peratus ditutup kerana pelbagai kesalahan.

Pengguna pula boleh menghubungi jabatan kesihatan negeri, pejabat kesihatan daerah, melalui laman web moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta isu lain berkaitan keselamatan makanan.

Dalam kenyataan lain, Noor Hisham menjelaskan isu terjemahan air kosong kepada empty water di laman Facebook KKM yang tular di media sosial semalam berpunca daripada pengguna yang telefonnya diaktifkan fungsi terjemahan teks secara automatik.

"Keadaan ini menyebabkan perkataan ‘air kosong’ telah diterjemahkan secara automatik kepada perkataan empty water dalam telefon pengguna terbabit," katanya.

Menurut Noor Hisham penyebaran imej tangkap layar itu tidak menggambarkan hantaran asal poster tersebut yang menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Inggeris sebagaimana tular.

Sehubungan itu, dia berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, orang ramai dinasihat untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada fungsi terjemahan secara automatik memandangkan ia tidak memberi penjelasan tepat.

- Bernama